Wednesday, August 19, 2009

Cabaran Kayak Pusing Pulau Pinang

Kami bermula seawal pagi lagi berkayuh. Pada sebelah malamnya kami telah membuat persiapan kayak dan peralatan yang perlu dibawa.
Kayuhan pada sebelah pagi 16 hb tu terasa berat sedikit maklumlah terpaksa membawa beban yang berat. Bekalan makan serta pakaian ditambah dengan air mineral seberat 5 liter seorang. Memang berbeza kayuhan daripada kayuhan sebelum ini.
Keadaan air laut pada pagi itu terasa tenang sekali. Memang dari ramalan air pada tarikh ini adalah air mati. 3 km awal kami masih santai lagi dalam kayuhan.
Kami mula melepasi Tanjung Assam dan perairan Gertak Sanggul dan seterusnya memasuki tanjung BTN. Sampai di BTN Pasir Panjang lebih kurang jam 9.30 pagi. Menepati sasaran kami.
seterusnya kayuhan diteruskan lagi dan memasuki perairan Sg Burung dan Pulau Betung. Memang target kami hanya akan berhenti rehat sekali sahaja pada satu hari iaitu untuk makan tengahari. Perairan sungai Burung mula menguji tahap kesabaran dan ketabahan kami berdua. Mana tidaknya ombak mula berkocak kuat sedikit. Tambahan pula dibelakang kami kelihatan awan dan langit mulai hitam. Ditambah pula sapaan dari seorang nelayan yang mengingatkan kami akan angin yang mulai mendatang dari sebelah belakang. namun begitu dek kerana azam dan tekad telah ditetapkan untuk terus berkayuh mengelilingi Pulau Pinang, kami teruskan juga kayuhan dengan berhati-hati. Dalam 1 jam selepas itu angin mulai bertiup dan keadaan ombak juga sedikit tinggi. Sasaran untuk berhenti untuk makan tengahari ialah dikawasan pantai Kerachut. Jarak kayuhan pada sebelah pagi ini dari Teluk Kumbar ke Pantai Kerachut ialah lebih kurang 26.7 km.
Jarak kayuhan masih lagi jauh. Kayuhan untuk melepasi tanjung Sungai Burung ini terasa amat jauh sekali. Mana tidaknya sebelum hujan tadi kami dapat melihat tanjung Teluk Kampi. Apabila hujan turun tanjung Teluk Kampi tidak kelihatan lagi, Cuma yang kelihatan penghujung kawasan paya Bakau. Ditambah pula apabila kami terasa kayuhan kami seperti tidak bergerak kemana-mana. Kami tidak boleh berhenti berkayuh, ini kerana jika berhenti sahaja kayak akan hanyut ke belakang, ini akan merugikan kami. Sasaran ditetapkan pada penghujung Paya Bakau. Ini kerana kami terasa amat letih apabila berkayuh dikawasan Sungai Burung tadi. Tiupan angin Barat memang cukup terseksa dibuatnya. Sehingga terasa seperti hendak mengalah. Namun apabila hendak sampai ke hujung Paya Bakau, keadaan air kembali tenang dan kami dapat berkayuh dalam keadaan tenang kembali.
Sampai sahaja berdekatan dengan penghujung Paya Bakau jelas kelihatan tanjung Teluk Kampi. Pantai Kerachut terletak bersebelahan dengan Pantai Teluk Kampi. Sasaran baru ditetapkan walaupun badan terasa letih. Kali ini kami bertekad untuk terus berkayuh hingga ke Pantai Kerachut. Melepasi Teluk Kampi, riak wajah kami kembali ceria, walaupun jam sudah menunjukkan jam 1.30 tengahari. Melewati target kami untuk sampai di Pantai Kerachut jam 12.30 tgh. Kayuhan diteruskan seperti biasa dan akhirnya kami tiba juga di Pantai Kerachut jam 2.30 tengahari walaupun pada waktu ini kami sepatutnya mula berkayuh semula untuk sesi sebelah petang. Dapat melabuhkan kayak terasa begitu lega sekali. Kaki yang tadinya yang duduk lurus sahaja dapat dibengkokkan apabila kami keluar dari kayak. Memang terasa lega dan nikmatnya apabila dapat berdiri setelah 7 jam berkayuh tanpa henti.
Di pantai Kerachut kelihatan ramai juga pengunjung pada hari tersebut. Kelihatan ada lebih kurang 3 grup disitu. Pantai Kerachut memang cukup terkenal sebagai satu kawasan untuk berrekreasi pada hujung minggu. Tambahan pula apabila sekarang Pantai Keravhut jga terletak dalam kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara. Pantai Kerachut boleh dimasuki melalui 2 cara iaitu jalan laut dengan menggunakan bot penumpang yang boleh dinaiki melalui jeti Teluk Bahang. Satu lagi cara ialah dengan treking dari pintu masuk yang mengambil masa selama 3 jam berjalan kaki. Setelah berhenti rehat dan menjamah juadah nasi yang memang telah dibeli dari awal kami bersiap untuk meneruskan perjalanan. Kami tidak boleh berehat lebih lama lagi kerana kami telah tersasar dari target awal dan telah kehilangan 2 jam masa perjalanan. Semasa rehat kami telah berbincang dan merasakan kami terpaksa memanjangkan trip kami ini kepada 3 hari. Kami telah bersetuju untuk berhenti bermalam dikawasan Pantai Mukahead ataupun sungai Tukun.
Perjalanan diteruskan tepat jam 3.30 petang. Riak wah kami sekarang fokus untuk melepasi satu tanjung di Panti Kerachut ini yang lebih terkenal dengan gelaran ”Pucat Muka”. Ini kerana ombak dan gelombang disini cukup tinggi sekali hinggakan jika kita berkayuh sebelah menyebelah kita sesekali tidak akan nampak orang disebelah kita apabila dilambung ombak di sini. Alhamdulillah kami dapat melepasi tanjung ini dengan baik sekali. Ombak menyebelahi kami pada ketika itu. Kayuhan kami juga lancar walaupun keadaan ombak sedikit tinggi. Melepasi tanjung Pantai Kerachut dan menghampiri kawasan teluk Pantai Mukahead jam menunjukkan jam 4.30 petang. Dari jauh kami dapat melihat target sasaran asal kami iaitu tanjung Kampung Huma. Pada waktu itu juga aku membuat perkiraan dan percaturan semula untuk terus berkayuh kesasaran asal. Ini kerana dirasakan untuk terus masuk keteluk Muka Head dengan terus berkayuh kesasaran terasa seperti sama jaraknya. Tambahan keadaan air laut pada saat itu seperti menyebelahi kami. Kayuhan kami terasa ringan disebabkan ombak laut yang sama menolak kayak kami ke tepi. Dengan bantuan dari angin dan ombak pada petang itu kami berjaya sampai disasaran di Kampung Huma bersebelahan dengan Hotel Rasa Sayang ShangriLa pada jam 6.00 petang.
Terasa nikmat sekali. Kepuasan tak terhingga. Malam itu kami menumpang rehat di pondok bersebelahan hotel iaitu tempat istirehat dan parking motor pekerja dan penjaga ”Jet Ski dan Para sailing”. Setelah meminta kebenaran dari mereka untuk tumpang bermalam disitu, kami mempersiapkan diri dan membetulkan urat sambil berehat. Malam itu juadah kami nasi dengan ikan sardin dan air kopi. Walaupun ala kadar tetapi nikmat dapat makan ketika badan latih ni memang sedap sekali. Malam itu kami tidur awal dengan janji esok nak turun awal sedikit, nak curi masalah katakan. Hari kedua, kayuhan seawal jam 7.00 pagi. Dalam kesamaran gelap kami mula berkayuh. Keadaan air dan ombak tenang sekali. Kayak kami juga terasa ringan sekali, berbeza dengan hari sebelumnya. Mana tidaknya kami buang segala ’’raisin’’ yang tidak perlu dan membawa air secukupnya sahaja untuk hari itu. Kayuhan dari tanjung Kampung Huma ke tanjung Padang Kota Lama bergerak lancar. Cuma rakanku sahaja Abdillah yang sedikit tertinggal dibelakang kerana dia mengeluh pinggangnya terasa sakit sedikit yang mengganggu daya kayuhannya. Namun untuk melepasi kawasan feri aku sempat menunggunya untuk sama-sama berkayuh seiringan melepasi kawasan feri. Melepasi feri kami terus berkayuh ke Jambatan Pulau Pinang. Sekali lagi aku menunggu Abdillah sambil menikmati pemandangan di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Keadaan air dan ombak masih menyebelahi kami, cuma sedikit berolak sahaja. Akhirnya aku meneruskan kayuhan dan akan menunggu Abdiilah dikawasan pantai Seagate tempat kami akan berhenti rehat untuk makan tengahari. Sambil melewati kawasan pantai Seagate aku meninjau-ninjau kawasan gerai makan dan minuman yang terdapat di tepi jalan disitu. Akhirnya ketemu juga sebuah gerai yang menjual Laksan dan Bihun Sup. Ketika berhenti di Pantai Seagate itu jam menunjukkan jam 12.40 tgh. Sambil menunggu Abdillah aku pekena dulu Laksa dan air oren. Lapar punya pasal habis dua mangguk aku pekena Laksa kat situ. Abdillah samapai lebih kurang 1.20 ptg kat situ. Berehat kat sini labih kurang sejam setengah sebelum kami teruskan kayuhan.
Jam 2.20 ptg, kami teruskan kembali kayuhan. Dari Pantai Seagate kayuhan diteruskan melewati kawasan Teluk Tempoyak dan diteruskan hingga ke kawasan Tanjung Pulau Rimau. Pada mulanya air masih lagi tenang dan sedikit olak sahaja. Apabila memasuki perairan Pulau Rimau ombak mula tinggi dan arus juga kuat. Apabila dipandang ke belakang Abdillah masih lagi berada pada tahap jangkauan mata. Memang terasa begitu tension sekali untuk melepasi perairan Pulau Rimau dan Permatang Damar Laut ini untuk menuju ke tanjung Teluk Bayu. Pada waktu itu jam 4.30 petang. Hujung tanjung masih jauh lagi. Setelah berkayuh tanpa henti akhirnya sampai juga ke hujung tanjung Teluk Bayu. Apabila sampai kat sini hati sedikit lega dan kayuhan mula diperlahankan dan aku berkayuh dalam keadaan santai sahaja kerana destinasi panamat sudahpun kelihatan dan jam baru menunjukkan jam 5.20 petang. Abdillah juga masih kelihatan samar-samar berkayuh dibelakang dalam keadaan kayuhan yang sedikit perlahan. Akhirnya dalam kayuhan yang sedikit santai itu aku berjaya juga sampai kedestinasi penamat pada jam 6.10 petang dan berjaya mengelilingi Pulau Pinang dalam 2 hari. Abdillah sampai juga 50 minit lewat dibelakangku.
Kami berjaya juga akhirnya. Memang jelas tergambar kepuasan dihati kami. Pengalaman kayuhan kayak mengelilingi Pulau Pinang ini menjadi pengalaman berharga buat kami berdua. InsyaAllah akan dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Untuk rakan-rakanku diluar sana minta maaf tak dapat nak mengajak kalian bersama, mungkin lain kali kut.




##untuk melihat koleksi gambar sila klik link kat bawah ni

Saturday, August 15, 2009

Rumah Bapa Saudaraku Terbakar



Anggota bomba cemas, rumah sendiri terbakar

AZAHAR yang melecur di bahu mendukung anaknya, Mohamad Rahimi di hadapan rumahnya yang hangus terbakar di Kampung Kangkong, Pasir Mas.

PASIR MAS - Sejak 16 tahun lalu, dia sentiasa tabah dan tenang menunaikan tanggungjawab menyelamat dan memadamkan kebakaran di mana sahaja terdapat panggilan kecemasan.

Namun kelmarin, seorang anggota bomba, Azahar Ahmad, 39, diuji dengan kebakaran melibatkan rumah sendiri di Kampung Kangkong di sini kira-kira pukul 6.20 petang.

Lebih mencemaskan apabila dalam kejadian itu, anaknya dikatakan terperangkap di dalam rumah berkenaan menyebabkan dia nekad mempertaruhkan nyawa meredah api marak sehingga melecur di bahu.

Menceritakan detik cemas itu, Azahar berkata, dia sedang melihat ternakan ikan di belakang rumahnya apabila tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan isterinya, Rohani Salleh, 41, yang memberitahu rumah mereka terbakar.

Lebih mengejutkan, katanya, isterinya yang menjual burger di depan rumah ketika itu memberitahu anak keenamnya, Mohamad Rahimi, 4, sedang tidur di ruang tamu.
_______________________________________________________________________________
Terkejut apabila terbaca berita KOSMO pagi ini apabila sekeping gambar didada akhbar KOSMO seakan kukenali. Apabila diamati rupanya memang benar bapa saudaraku. Terkejut rumahnya terbakar, lantas terus menelefon mak dikampung bertanyakan khabar berita. Daripada apa yang diberitahu emakku, kebakaran berpunca dari litar pintas. Mujurlah semua ahli keluarga selamat. Cuma yang sedihnya semua pakaian dan harta benda habis terbakar.
Mungkin ini ujian buat keluarga bapa saudaraku yang telah lama menjadi ahli Bomba. Mungkin tidak terdetik dihatinya akan rumahnya sendiri yang akan terbakar suatu hari nanti.
Buat bapa saudaraku sekeluarga tabahkan hati menghadapi dugaan ini. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

Thursday, August 13, 2009

Cabaran Kayak Pusing Pulau Pinang


Hahaha...lama dah tak buat xtvt outdoor ni...dok gian giler nak buat xtvt ni.. Tarikhnye 16 - 17 Ogos ni.. Memang dah dekat nak posa dah...

Memang tak ader masa langsung sebelum ni.. Dok sibuk buat xtvt untuk pejabat punya program...Skrg ni rasa lapang sikit, maklumlah dah dekat nak posa....

jadi sebelum bulan posa sampai rasanya elok aku try satu xtvt ni iaitu Pusing Pulau. Bukannya tak penah kayak pusing pulau...
Pernah sehali dulu tahun 2003..tu pun kayak tak abis..kira main tukar-tukar orang... kali ni takdak tukar punya...
letih ke idak kayuh sampai abihhh...

sehari kene kayuh sampai 40 km.. Raser kecut jugak rasernya...Cabaran paling tough rasenye untuk melepasi kawasan pantai Kerachut. Ombak kat sini tinggi....

Doakan keselamatanku wahai kawan-kawan...semoga selamat kembali.....
Nantikan post yg akan datang tentang pengalaman mencabar ini..


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails