Wednesday, November 24, 2010

Royal Belum, Banding Perak

Royal Belum, pasti ramai yang pernah mendengar namanya bukan. Nama Royal Belum memang telah lama dikenali oleh masyarakat umum Malaysia. tapi ramai yang tidak mengetahui akan keindahan panorama flora dan fauna hutan ini. Tasik Banding terletak ditengah-tengah lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Kelantan dan Perak. Pintu masuk ke Royal Belum ini terletak hanya ditepi lebuhraya tersebut. Jika anda berkenderaan dari arah utara, ambil sahaja simpang kiri selepas jambatan pertama.
Untuk meneroka Hutan Royal Belum banyak cara boleh kita gunakan iaitu menggunakan bot house dan juga bot-bot pelancong yang perlu ditempah terlebih dahulu. Pada kali ini saya berpeluang mengikuti trip ke Hutan Royal Belum ini menggunakan khidmat rumah bot yang boleh memuatkan sekitar 40 orang penumpang. Trip aku kali ini seramai 31 orang peserta beserta dengan 3 orang tukang masak dan 3 orang tekong bot. Sewa Rumah Bot ni kami dapat dalam RM 1700 selama 2 hari 1 malam tak termasuk makan dan minum. Yang tu kene masak sendirilah, pakat-pakat.Trip bermula dari Pulau Pinang di mana kami menaiki bas dari Bukit Mertajam pada jam 4.00 pagi lagi dan terus menuju ke Tasik Banding. Tiba jam 7.00 pagi. Setelah sampai , rumah bot telah sedia menanti kami. melihat rumah bot hati amat teruja untuk terus menaiki dan meneruskan perjalanan. Kami sempat memesan ikan Talipia Norway untuk santapan BBQ pada sebelah malam. Bukan apa, ikan yang hendak dipancing belum tentu dapat lagi.
Destinasi kami adalah Sungai Kejar iaitu kawasan paling hulu di Hutan Belum. Bot kami hanya boleh pergi setakat ini sahaja. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Di kawasan Sungai Kejar disediakan pondok-pondok untuk para pelancong beristirehat dan bersantai. Terdapat sebuah rumah renjer hutan yang di jaga dan dikawal selia oleh kakitangan dari Perbadanan Taman Negeri. Bot kami berlabuh di tepi kawasan rekreasi tersebut. Sewaktu tiba di Sg Kejar terdapat satu kumpulan pemancing yang terdiri daripada lebih kurang 8 orang sedang memancing di situ.
Apalagi masing-masing berebut-rebut melabuhkan pancing masing2. Rezeki pancingan kami tidak berapa baik pada petang itu kerana kurang ikan yang menyengat pancing masing2. Namun rezeki kami berubah sedikit pada sebelah maghrib kerana terdapat beberapa rakan aku yang berjaya menaikkan beberapa lampam dan ikan baung. Namun semuanya bersaiz kecil. Ikan Toman yang menjadi idaman masih belum muncul.Oleh kerana ikan dari lubuk sungai yang di harap tidak banyak yang tewas, maka ikan bekalan Talipia Norway menjadi santapan kami pada malam itu. Amat berselera sekali apabila memakan ikan Talipia Norway ini yang merupakan hasil dari tasik banding ini juga. Makan kami malam itu meriah sekali kerana masing-masing berebut untuk merasai ikan-ikan segar yang di masak.
Malam tersebut tiada apa sangat aktiviti kami kecuali ada sesetengah kalanagan pemancing tegar dari kumpulan aku yang tidak berputus asa cuba menaikkan ikan-ikan dari Sungai kejar. Namun hasilnya juga tidak seberapa. Hanya beberapa Lampam dan Baung sahaja yang naik. Malam di hulu Royal Belum ini memang cukup sejuk sekali, tambahan pula apabila angin bertiup, masing-masing cuba mencari perlindungan di sebalik kehangatan tubuh rakan-rakan. manakan tidak semuanya tidur bergelimpangan di ruang bawah bot.Esoknya lebih kurang jam 9.30 pagi, kami mula bergerak balik dan singgah di beberapa lubuk yang terdapat di pertengahan jalan. Toman yang di harap masih juga tidak kunjung tiba. semua jenis umpan telah di cuba, masih juga belum berhasil. Anak Keli, anak ikan kap, cacing, buah sawit, tepung, cengkerik, semuanya telah dicuba. Mungkin rezeki tidak menyebelahi kami pada trip kali ini. Jika ada rezeki mungkin di lain masa kami akan datang lagi ke sini.
Perjalanan pulang aku sempat singgah di perkampungan orang asli dari suku Jahai yang mendiami sekitar Tasik Banding. Sempat jugaklah memberi sumbangan pakaian baju dan seluar. Pada mulanya malu-malu tapi akhirnya ramai yang datang mengkerumuni kami. Aku kagum dengan fesyen rambut anak-anak gadis orang asli ini, jenis fesyen orang Negro.
Akhirnya perjalanan kami tiba juga jeti tasik banding setelah perjalanan selama 6 jam. Setelah bersalaman dengan tekong bot kami bergerak pulang semula ke Penang. Pengalaman berada dalam rumah bot ini merupakan satu catatan pengalaman yang indah sekali, walaupun ada yang merasa boring tak tau nak buat apa selain mancing, tapi pengalaman ini patut di cuba juga oleh setiap insan yang minatkan outdoor.

Friday, November 12, 2010

Aku Kini Berjaya........

Akhirnya penantian aku selama ini termakbul jua. Kini akubergelar seorang guru dengan gred DG 44. bangga akan pencapaian diri sendiri dapat bertahan sehingga kini. Alhamdulillah semoga terus diberkati di dalam bidang yang penuh onak dan duri ini.

Monday, November 8, 2010

Log ke Tawau - Semporna

sambungan Log lalu....

4 November 2010

Kami bangun awal pada pagi itu jam 5.00 pagi. Kat sini subuhnya awal 4.55 pagi sudahpun masuk waktu. Pukul 5 tu kiranya dah nak cerahlah. Pagi itu kami berjalan-jalan sekitar bandar Tawau dan sempat melawat Pasar Tanjung Tawau dan Pasar Ikan Tawau. Kedua-dua pasar ini hanya berada di belakang Hotel kami sahaja.

Seterusnya pergerakan ke pekan Semporna kami teruskan pada jam 12.00 tengahari. Untuk ke Semporna kami memilih pengangkutan menggunakan bas mini. Bas mini kalau kat Sabah ni ialah Van. Tambangnya ialah hanya RM 10.00 sahaja untuk seorang. Perjalanan mengambil masa 1 jam 15 minit. Bas mini ini boleh dinaiki di kawasan pekan yang dikenali dengan Sabindo.
Sampai sahaja di Semporna kami menginap di Borneo Global Sipadan Backpackers. Kos penginapan cuma RM 90.00 untuk satu bilik 3 orang. Keadaan bilik selesa dengan bilik air di dalam. Petang dan malam itu kami jalan-jalan di Semporna. Kat sini banyak kedai-kedai "Dive Centre" Boleh dikatakan Semporna merupakan pintu masuk bagi penyelam-penyelam tempatan dan antarabangsa. Bagi sesiapa yang nak mengambil lesen menyelam pun boleh. Kat sini ada banyak pusat menyelam, pilih sahaja nak yang mana.

Berhadapan pekan Semporna ialah Pulau Bum Bum. Untuk ke Pulau tersebut boleh menaiki bot dengan tambang hanya RM 2 seorang. Pulau Bum Bum ialah satau pulau yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, juga terdapat beberapa sekolah di sekitar pulau tersebut.

5 November 2010

Hari ketiga kami di Sabah, hari ini kami akan bergerak ke Pulau Mabul untuk menginap di sana. Perjalanan dengan menggunakan bot selama lebih kurang 1 jam setengah. Di Pulau Mabul kami menginap di Arung Hayat Resort. Rata-rata penginapan di chalet terapung di Pulau Mabul ialah sekitar RM 60 - RM 80 sahaja seorang termasuk makan. Lainlah kalau kita memilih penginapan mahal di Chalet Terapung milik Sipadan Water Village yang berharga sekitar RM 500 satu bilik.

Dekat Arung Hayat ni penginapannya sudah selesa dengan pemandangan menghadap suasana matahari jatuh dan naik. Berdekatan dengan Chalet ini ada lagi chalet Uncle Chang, Billabong, Scuba Jeff dan ada lagilah. Sampai di Mabul ini aku cukup teruja melihat airnya yang cukup jernih walaupun berdekatan dengan penempatan orang.

Kami sebenarnya boleh dikatakan beruntung kerana pakej kami cuma berharga RM 150 seorang  untuk 2 hari satu malam yang termasuk bilik, makan minum, bot dan lawatan ke Pulau Sipadan, Kapalai dan Mabul. Ini mungkin disebabkan kami menumpang satu grup rakan dari Pulau Pinang yang datang dalam kumpulan yang ramai. Kalau kita bertanya di pusat-pusat pelancong yang terdapat banyak di pekan Semporna tu, kebanyakannya kalau nak ke Mabul sahaja kosnya sekitar RM 300 seorang. Kalau nak ke Mabul pula kosnya RM 550 seorang.

Petang tersebut setalh check Inn bilik masing-masing kami bergerak dengan bot ke Pulau Sipadan. Perjalanan lebih kurang setengah jam. Laut amat bergelora masa tersebut. Kalau laut tenang perjalanan cuma 15 minit dari Pulau Mabul. Sampai di Sipadan aku merasa amat takjub sekali dengan keindahan pulau tersebut. Pulau Sipadan kini tak boleh lagi menginap. Pelancong yang datang hanya untuk menyelam, snorkeling atau melawat sahaja. Hanya tentera sahaja yang dibenarkan berada di pulau ini. Pihak tentera akan membuat giliran selama 3 bulan sekali untuk berkawal di pulau Sipadan. Selain tentera terdapat juga pihak PGA yang berkawal.

Di Pulau Sipadan sebenarnya kalau nak Snorkeling tak berapa cantik sangat. Coral di sini tak berapa banyak. Pantainya penuh dengan pasir sahaja. Namun begitu Sipadan adalah syurga bagi penyelam. Bentuk Pulau Sipadan yang berbentuk seperti cendawan itulah yang unik sekali. Keindahan Sipadan adalah didasar pulau tersebut.

Pulang dari Sipadan kami singgah di Pulau Kapalai. Pulau ni kami tak boleh masuk sebab kepunyaan persendirian. Jadi tengok dari luar sahaja, namun sempat terjun juga, ambil lesen snorkeling di Pulau Kalapai. Pulau Kapalai penuh dengan chalet terapung jenis mewah. Kos sekitar RM 500 satu bilik. Pulau Kapalai juga merupakan lokasi penggambaran filem Duyong lakonan Apek Senario.

Dari Kapalai kami terus balik ke resort kami dan sempat singgah jugak dekat dengan bot-bot masyarakat Bajau Laut yang tinggal atas bot. Kesian sungguh melihat mereka dan kami sempat menghulurkan biskut dan juga duit kepada mereka ini. Masyarakat Bajau Laut yang tinggal di atas bot ini akan tinggal di atas bot sepanjang masa dan akan ke darat hanya untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman sahaja.

Wednesday, November 3, 2010

Log ke Tawau - Semporna

3 November 2011


Perjalanan dengan penerbangan Air Asia AK 5154 menempuh masa selama lebih kurang 3 jam dari LCCT ke Airport Tawau amat memenatkan sekali. Alhamdulillah kami selamat sampai di sini. Gambar masa atas Flight

Untuk ke pekan Tawau kami terpaksa menaiki teksi kerana bas telah menamatkan perkhidmatan pada sebelah malam. Tambangnya pula RM 45.00. Kalau dengan bas hanya RM 10.00 sahaja. Menurut pemandu teksi kalau hendak ke pekan Semporna tambangnya lebih murah iaitu cuma RM 95.00 sahaja. Jika dari pekan Tawau untuk ke Semporna pula kosnya RM 120.00.

Satu-satunya tempat makan sebelah malam di sini


Kami menginap di Hotel Tawau yang terletak di Jalan Chester. Harga bilik jenis Double Deluxe cuma RM 77.00 sahaja untuk satu malam. Bilik ini disediakan tiga katil. Suasana malam di pekan Tawau boleh dikatakan agak lengang. Hanya kawasan yang berdekatan dengan Supermarket sahaja dipenuhi orang ramai. Malam ini kami makan di sebelah Pasar Ikan terletak berhadapan Supermarket Parkwell di jalan Ho Hwang Kim

Tuesday, November 2, 2010

Trip ke Semporna

Esok pagi akan bertolak ke Tawau. Perjalanan dengan Coaster Pusat Kokurikulum ke LCCT pada jam 7.00 pagi. Flight Air Asia jam 3.35 ptg. Alhamdulillah penginapan pun dah berjaya.
Aku berjaya tempah penginapan budget di Semporna iaitu di Borneo Global Sipadan Backpackers.
RM 90 saja harganya, bilik untuk tiga orang siap ada aircond dan bilik air di dalam.

Bangunan ni katanya berhadapan dengan Jetty untuk ke Pulau Mabul, Sipadan, Kapalai dan Sibuan. Jadi rasanya tak susah untuk mendapatkan pakej bot ke Pulau2 yang lain tu.
InsyaAllah akan bertolak esok dan moga perjalanan selamat semuanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails