Monday, January 30, 2012

Catatan Kembara Singapore.................

Trip ke Singapura ini merupakan trip ad hoc. Tak tahu nak kemana cuti Raya Cina yang bersambung dengan cuti sekolah menyebabkan aku cadang kat isteri untuk ke Singapura. Masa untuk google tentang Singapura hanya ada masa sehari dua sahaja. Dapat sikit maklumat cukup sebab rasanya nak ke Singapura tak sesusah mana sebab negara yang maju. sebelum ni pun memang dah ada sedikit sebanyak maklumat tentang negara ni, cuma masa sahaja yang tiada untuk ke sana.
Kami memasuki Singapura menggunakan bas Causewaylink menggunakan lebuhraya link kedua
daripada Gelang Patah. Sebenarnya kebetulan adik aku tinggal di Gelang Patah, jadi kami menumpang rumah mereka sepanjang kunjungan ke Singapura. nak menginap kat sana, pikir mahal jadi kami berulang masuk Singapura dua hari tu.
.
Bagi yang nak ke Singapura menggunakan link kedua ni bolehlah menaiki bas Causewaylink di pekan Gelang Patah dengan tambang berharga RM 4 sehala. Perjalanan dengan bas dari Gelang Patah ke Imegresen Malaysia cuma ambil masa 10 minit sahaja. lepas cop pasport naik sahaja bas Causewaylink yang mana pun takpa. Perjalanan dari Imegresen sini ke belas imegresen Singapura dalam 2 minit sahaja. Turun cop pasport pastu naik sahaja mana-mana bas Causewaylink tu. Aku turun bas dikawasan Jurong East. kat situ memang ada pengangkutan MRT jadi senang nak kemana-mana pun.
Tujuan pertama kami pagi itu ialah ke Merlion Park, nak tengok patung Singa yang dok pancut air tu. Jadi kalau nak ke sini naik jer MRT dan turun di stesyen MRT Raffles Place. Nak ke Merlion ni, keluar dari stesyen Raffles Place, cari jer sungai dan menyusur sahaja sungai tu ke arah sebelah kanan dan anda akan berjumpalah dengan patung ni. Dah sampai tu, apa lagi ambik gambarlah buat kenangan.
. Bila kami sampai sini dia punya Selepas selesai di Merlion Park, kami bergerak balik ke MRT Raffles Place dan menuju pula ke stesyen MRT Bugis. Kat sini apa lagi kalau bukan shopping. Katanya kat sini banyak barang murah, dia punya deretan kedai macam kedai kat Petaling Street tu lah. Banyak jugalah barang yang murah tapi tak murah sangatlah aku rasa.
Beli dua tiga barang kat sini, kami bergerak pulak ke Arab Street. Dari Bugis Street kami jalan kaki sahaja ke Arab Street. Belek peta sikit dan tengok dekat je, tu yang jalan jer tu. Kat sini banyak jual kain-kain pasang yang murah-murah. Sesuailah kalau nak shopping kain pasang buat baju.
.
Kat Arab Street ni jugaklah terletaknya masjid Sultan yang cukup terkenal di singapura. Sempat jygak aku bersembahyang Jamak zohor dan asar kat sini. kalau nak makan makanan islam, eloklah sangat berkunjung kat Arab street ni. Rupanya memang kat sini tempat berkumpulnya kebanyakan orang melayu Singapura. Kebanyakan kedai makan kat sini semuanya kedai makan islam.
Pada sebelah petangnya pula kami bergerak kembali ke MRT Bugis untuk ke stesyen MRT Orchard pula. kat sini pula tarikan utamanya ialah himpunan Shopping Kompleks yang besar dan hebat-hebat belaka. Shopping Kompleks ini pula bersambung antara satu sama lain. Kalau nak banding ngan KL, MAll yang macam Sogo tu ada 4 dan 5 buah kat sini. Jenuh nak shopping kat sini. Kami kat sini hanya buat "window shopping' jer.
.
Letih di Orchard Road kami bergerak pulang kembali ke Johor. Naik MRT ke stesyen Jurong East kembali untuk mengambil bas CAusewaylink untuk balik ke Gelang Patah. Kalau dari Gelang Patah ke Jurong East tambangnya RM 4, tapi dari Jurong East ke Gelang Patah, tambangnya SGD 4. jadi kalau cornvert duit kita labih kurang RM 10 lah pulak.
Hari kedua seperti biasa kami ambil bas dari Gelang Patah dan bergerak ke Jurong East. hari ni kami cadang nak ke Universal Studio sahaja dan kalau sempat nak singgah di China Town.
.
kos masuk USS ni boleh tahan harganya iaitu SGD 68 untuk hari biasa, Cuti Umum harganya SGD 72. kalau mai sini bersama isteri dan anak 3 atau 4 orang, mau kopak dekat RM 1000. Tapi dari kunjungan aku kat sini rasanya kos tu berbaloi dengan apa yang ada kat dalam ni. Semua tempat kat dalam ni kita tak payah bayar dah, semua free.
.
Dalam ni macam-macam ada, ruangan Hollywood, Madagascar, Egypt, New York, Jurassic Park, Waterworld dan maca-macam lagi. Nak tau lebih memang kene mai sini sekali.
Untuk ke USS ni yang letaknya di Pulau Sentosa boleh naik MRT ke stesyen HarbourFront. Kemudian tuju ke tingkat 3 Mall Vivocity. Ada tiga cara nak ke Pulau Sentosa. Pertama guna kereta kabel, kedua jalan kaki laluan Broadwalk, ketiga guna keratapi Ekpress Sentosa. Kalau nak guna bas pun boleh. Jalan kaki ke sini lagi seronok sebabnya kita akan disajikan dengan pemandangan laluan Broadwalk yang mempunyai elemen 4 musim. nak tahu macam mana, kene datang sendirilah yer.
Ni lah gambar yang sapa mai USS ni nak sangat dok bergambar. Kononya aku dah sampai sinilah. Mercu tanda USS ni berada betul-betul di pintu masuk USS ni. PIntu USS di buka hanya pada jam 10.00 pagi dan tutup pada jam 6 petang. Kat dalam ni nak cari kedai makan Islam susah sikitlah. Rasanya takder langsung. Deretan kedai malaysian Stall ada tertera kat depan pintu masuk ke USS tapi bila kami masuk dalam tu semuanya stall orang Cina. Jadi kalau nak mai sini bawak bekallah lagi baik, tapi makanan dari luar tak boleh bawak masuk, jadi pandai-pandailah yer.
Antara gambar-gambar masa kat dalam USS. Betul macam-macam ada kat dalam ni dan tak sia-sia rasanya habiskan duit USD 68 hari tu.
Bergambar kononnya seperti dok kat Oversealah. Banyak kereta-kereta antik kat dalam ni, dan semuanya boleh digunakan untuk bergambar sajalah yer. nak lebih-lebih tak bolehlah.
Antara permainan yang ada kat dalam ni. Kami pun apa lagi cuba sahajalah.
Tranformers pun ada kat dalam ni. Sempat jugak bergambar dengan transformer kat dalam ni.
Jadi kalau sapa-sapa mai Singapore ni jangan lupa singgahlah kat USS ni. Nak masuk kene mai pagi-pagi, jangan tengahari baru mai. Memang tak sempat nak habis lawat semua tempat kat dalam ni.
Kami tamatkan lawatan kami di Singapore dengan pergi ke Chinatown pulak pada hari kedua tu. nak ke Chinatown naik MRT stop kat stesyen Chinatown. kat sini memang barang murah-murah belaka. Berbaloi shopping kat sini.
Info di Singapura:-
#Nak masuk Singapore naik bas lagi senang dari bawak kete.
#Pengangkutran utama yang cekap lagi efisyen ialah MRT.
#Naik MRT guna tiket beli kat mesin. Deposit SGD 1 dapat balik bila kita refund tiket tu.
#Kat Singapore ni barang letrik dan elektronik amat murah berbanding ngan Malaysia.
#Kalau menginap hotel kat Singapore ni mahal sikit tapi kalau banyak duit lantaklah.
#Kat Singapore tak boleh meludah, merokok atau buang sampah merata, nanti kene saman.
#Tempat wajib lawat, Bugis Street, Arab Street, Merlion Park, USS, Sentosa Islands, Chinatown dan Little India.
#Nak cepat dan tak nak jem guna secondlink. Cepat dan pantas.
#Kadar tukaran SGD 1 = RM 2.43.




Sunday, January 29, 2012

Catatan Kembara Pnom Penh, Cambodia

Setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang 7 jam dari Siem Reap ke Pnom Penh, akhirnya kami sampai jugak ke ibu kota Cambodia ini iaitu Pnom Penh. Perjalanan yang disajikan dengan laluan sistem jalan raya yang tidak berapa sempurna dan kadangkala penuh dengan lubang serta jalan yang tidak berturap. Memang penat perjalanan dengan bas ni sebab rasanya kalau jalannya sempurna mungkin dalam 3 atau 4 jam dah boleh sampai. Aku tak syorkan sangat kalau korang bawak orang-orang tua untuk menempuh perjalanan sebegini. Purata kelajuan bas kami cuma sekadar 60 km sejam sahaja.
Gambar kat atas ni adalah hadapan Hotel kami di Pnom Penh iaitu Cardamom Hotel.

Pada hari keempat kami di Kemboja seterusnya kami di bawa ke kawasan "Killing Field" iaitu satu kawasan yang paling tragik sekali iaitu tempat pembunuhan rakyat Kemboja semasa era Khmer Rouge dari tahun 1975 hingga 1979. kat sini suasana pilu menyelubungi kerana banyak kesan-kesan kekejamanan Khmer Rouge dapat di lihat. Antaranya tengkorak mangsa kekejaman yang disusun rapi di satu menara, juga pakaian-pakaian mangsa, juga satu pokok yang diberi nama "Killing Three". Di pokok inilah di mana bayi dipegang kaki dengan kepala ke bawah dan dihempas terus ke pokok. Mereka berbuat sebegini supaya tiada tinggal zuriat mangsa-mangsa yang mereka bunuh. Killing Field ni boleh dikatakan tempat menjalani hukuman bunuh.
Inilah menara di mana disimpan tengkorak-tengkorak mangsa kekejaman Khmer Rouge.
Ini pula ialah salah seorang mangsa yang terselamat. Apa yang boleh beliau buat sekarang hanya meminta sedekah di pintu masuk ke Killing Field.
Seterusnya kami di bawa pula ke "S-21" iaitu sebuah sekolah yang diambil alih oleh Khmer Rouge dan dijadikan pusat tahanan dan tempat penyeksaan mangsa-mangsa mereka. Kesan-kesan dan peralatan penyeksaan jelas masih dapat di lihat sampai sekarang. Memang tidak rugi datang ke sini. Kalau kita datang ke Cambodia secara sendiri, eloklah google dahulu tentang kisah Khmer Rouge semasa era mereka supaya kita mendapat info berguna dan faham tentang sejarah negara mereka semasa melawat ke sini.
Antara tempat kurungan yang amat sempit dimana mereka tempat buang air kecil dan besar adalah ditempat yang sama.
Salah seorang mangsa di S21 yang masih hidup dan dapat survive. Sekarang beliau menulis sebuah buku tentang kisah beliau. Sebenarnya pada hari terakhir Khmer Rouge berkuasa mereka telah membunuh 14 orang tahanan dan ditinggalkan begitu sahaja dan telah dijumpai oleh pihak berkuasa yang menggeledah disini.

Ini pula bergambar beramai-ramai semasa bersembahyang di sebuah perkampungan Islam terbesar di KM 9 Pnom Penh. Kat sini ramai masyarakat Melayu Champa.
Pintu gerbang masjid KM 9. Hensem tak 2 org ni.
Ni pulak Central Market di tengah-tengah bandar Pnom Penh.
Pada sebelah petangnya kami dibawa menyusuri Sungai Mekong, dan dibawa ke tempat pertemuan 3 pertemua sungai dari empat negara. Tempat pertemuan sungai tu datangnya dari negara Laos, Vietnam, Kemboja dan juga Thailand. Nak naik bot ni bayarannya 5USD seorang. Boleh pergi ke jeti di RiverFront Pnom Penh.
Royal Palace, istana Raja Kemboja yang kini dijadikan tempat lawatan dan pusat pelancongan bagi Kemboja. Nak masuk bayarannya 20USD. bagi yang minat sejarah berbaloilah masuk tapi kalau korang datang sendiri, aku syorkan tak yah masuklah, buat rugi duit jer. Bergambar dari lkuar dahlah.
Aku masuk pun sebab memang dok dalam pakej dah. Kalau tak masuk rugi pulak sebab dia orang dah bayar siap dah.
Ni gambar budak-budak sekolah Kemboja dari ketutunan Melayu Islam. Apa lagi ambik gambarlah sebab jumpa orang Melayu kat Kemboja.
Gambar terakhir ni ialah gambar aku dengan my Boss dan yang pompuan tu adalah Mek Esah iaitu tokey restoren Islam iaitu D'Wau Restoren.
Info berguna:-
## Restoren islam banyak kat Pnom Penh ni seperti Restoren D Nyonya (sebelah Central Market)
## Restoren Mamak Corner (Tokey orang Selangor)
## Restoren D'Wau, sebelah Hotel New York (Tokey orang Kelantan)
## Restoren Hotel Puncak (Tokey orang Selangor)
## Hotel disyorkan - Puncak Hotel
## Tempat shopping murah - Central Market dan Russian Market
## Sama gak kalau tawar kasi potong terus dalam 70%.
## Tempat lawatan wajib - Killing Field dan S21
## Tempat pilihan Royal Palace, National Museum, River Cruise, Waterfront
## Sewa tut tut sekitar 2 usd untuk sekali naik
## Kebanyakan restoren Halal, mereka ni boleh cakap Melayu, jadi tiada masalah bahasa
.
Ok, setakat itu dulu buat kali ini, moga jadi panduan berguna buat semua pengembara di luar sana.....
Kisah Siem Reap klik sini.

Saturday, January 28, 2012

Catatan Kembara Siem Reap, Cambodia

Kali ini aku mengikuti pakej lawatan ke Kemboja bersama rakan-rakan Pusat Kokurikulum seMalaysia ke Siem Reap dan Pnom Penh, Kemboja. Jadi kali ini tak banyak persiapan dan kajian internet yang perlu aku buat sebab semuanya telah disusun oleh pihak penganjur. Jadi kali ini tripnya agak santailah. Tak payah nak penat kepala otak pikir nak tidor dan makan kat mana.

Penerbangan ke Siem Reap bermula dari LCCT pada jam 6.50 pagi 14 Januari yang lalu. Penerbangan selama 1 jam 50 minit tak berapa membosankan sangat. Jejak saja kaki di Siem Reap, hati terasa berbunga kerana berjaya juga jejak bumi penuh sejarah Kemboja ini.
Urusan imegrasi di airport Siem Reap tak ada karenah langsung, kami cop macam biasa saja.
Keluar dari Airport kami terus disambut oleh guide keturunan Kemboja bernama Sophy dan dibawa menaiki bas. Pengalaman pertama di bumi Kemboja apabila pemanduan kenderaan adalah disebelah kiri. Kekok sikit pada mulanya walaupun bukan kami yang pandu bas tu. Lawatan pertama kami ialah ke Tasik Ton Le Sap iaitu sebuah tasik terbesar di Asia Tenggara. Tasik ini airnya dikatakan mengalir ke negara Vietnam dan Laos juga. Disepanjang laluan ke tasik ini jalannya amat tidak sempurna, banyak jalan merah dari jalan tar. Di kiri kanan jalan juga kami disajikan dengan pemandangan rumah-rumah masayarakat Khmer yang serba daif.
Namun begitu apabila sampai saja di Tasik TonLeSap, aku terasa takjub sekali akan keluasan tasik ini. Nak masuk sini kene bayar 2USD seorang bagi pelancong. Tu belum kira tambang bot menyusuri tasik tu lagi iaitu sebanyak 10 USD.
Lihatlah pemandangan gambar kat atas ni, deretan bot-bot panjang yang membawa pelancong menyusuri tasik ini. Bot-bot disini lebih kurang sama dengan bot yang membawa pelancong ke Pulau Phanga di Thailand. Cuma disini rasanya bot itu lebih besar dan pelancong boleh bergerak di dalam bot. Malah kami boleh berada di atas bumbung bot tersebut juga.
Kami disajikan dengan rumah-rumah masyarakat yang asalnya dari Vietnam yang menginap di sini. Terdapat sebuah sekolah terapung yang disumbangkan oleh negara Korea Selatan disini. Kebanyakan masyarakat disini menyara hidup sebagai nelayan tempatan.
Anak-anak masyarakat kat sini yang sibuk mengejar bot kami untuk bergambar dengan ular sawa yang hanya dibawa oleh anak-anak kecil seumur 7 - 10 tahun. Mereka kat sini tak takut langsung dengan ular sawa. Ular Sawa kat sini macam haiwan peliharaan kat rumah sahaja.
Kat atas ni aku bergambar kat atas bumbung bot yang kami naiki. Latar belakang tasik saujana mata memandang, sungguh besar sekali tasik ini sehingga tak nampak langsung penghujung disebelah sana. Tasik ini pada musim biasa hanya mempunyai keluasan 3,000 kaki persegi tetapi pada bulan September hingga Disember ianya membesar menjadi 12,000 kaki persegi.
Lihatlah kemahiran masyarakat disini yang hanya menaiki besen bulat yang kecil dan hanya menggunakan sebatang kayu bulat kecil untuk mengayuh. Dalam besen tu apa lagi yang ada kalau bukan ular sawa. Sekali lihat hati memang terasa kesian dengan mereka.
Selepas lawatan ke Tasik Ton Le Sap, kami terus bergerak ke hotel dan sebelum itu singgah makan dahulu disebuah perkampungan Melayu Champa. Jumpalah dengan masyarakat Islam yang boleh berbahasa melayu disini.
Keadaan rumah disini amat miskin sekali. Terasa seperti keadaan kita di Malaysia lebih kurang 20 ke 30 tahun dahulu. Banyak rumah yang hanya berdindingkan buluh dan atap nipah.
Inilah satu-satunya masjid yang ada kat sini. Masjid ini di bina hasil bantuan masyarakat dari pelbagai negara termasuklah Malaysia. Masjid ni letaknya tak jauh sangat dari pusat bandar Siem Reap, tapi kalau nak cari tu rasanya susah sikit sebab kedudukannya di celah-celah bangunan dan anda kena masuk ke dalam sikit untuk mencarinya.
Masjid ini memang indah bagi masyarakat di sini, tapi rasanya masih banyak bantuan yang diperlukan untuk terus mengekalkannya indah disini.
Kami juga sempat singgah di satyu pusat Kraftangan berdekatan dengan hotel kami Kingdom Angkor. Kat sini mereka ada membuat bakul-bakul kraftangan, sabun wangi, kopi dan beberapa produk kraftangan tempatan.
Seterusnya pada petang itu kami terus melawat ke "Cambodian Cultural Village". Yuran masuk sini 12USD. Kat sini ada pelbagai cerita tentang kebudayaan dan sejarah masyarakat Kemboja. Tempat ni cukup luas, rasanya perlukan masa lebih kurang 2 ke 3 jam kalau melawat ke sini.
Ni salah satu pemandangan di dalam "Combodian Cultural Village". Kami banyak disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan masyarakat setempat juga kami berpeluang menyaksikan persembahan perkahwinan masyarakat Kemboja.
Ha, nilah rupanya hotel tempat kami menginap, kalau bukan sebab pakej tak adalah rasanya aku nak menginap kat hotel macam ni, cukup hotel baudget saja. Hotel ni hotel 4 bintang. Harganya malas aku nak tanya sangat sebab tau dah mesti mahal punya.
Ni pulak gambar masa lawatan ke kilang batu permata. Tokey kilang tu belanja kami minum air kelapa muda free sambil dengar penerangan mereka tentang batu permata Kemboja. Antara kami banyak yang tengok saja sebab bila tanya harga, semua terbeliak biji mata, sebiji batu anggaran harga 100 USD semuanya. 100USD tu antara yang murahlah, Kalau yang mahal tu korak agak-agaklah kan.
Pemandangan Tut-Tut Kemboja. Muatan boleh isi 4 orang. Rasanya lebih selesa dari Tut Tut Thailand.
Lawatan pada hari kedua ke Angkor Wat, iatu warisan sejarah Kemboja. Nak masuk sini saja 20USD kene bayar. Wat ini adalah tinggalan masayarakat Hindu yang dulunya bertapak dibumi Kemboja. Kalau tengok dari seni binanya memang kita terasa takjub sekali. Kadang-kadang kita terpikir bagaimana teknologi zaman dahulu boleh membina bangunan sebegini.

Wat kat atas ni pulak salah satu yang terdapat dalam komplek ini yang lebih dikenali sebagai Wat Thom. Kat sinilah cerita Tomd Raider berlangsung. Banyak seni binanya yang telah rosak terutamanya semasa zaman Khmer Rouge bermaharaja lela dulu pada tahun 1975 - 1979.
Yang ni, salah satu menu makanan kami, indah kan persembahannya. Tapi rasanya tak seindah rupanya. Tapi not bad lah. Sebabnya ini adalah makanan yang disajikan oleh sebuah restoran disebuah hotel iaitu Hotel Lotus. Harga makan hari ni sekitar 20USD seorang. Apa macam ada brannnn..
Gambar atas ni semasa jalan-jalan di sebuah pasar di pekan Siem Reap. Aku tak minat sangat nak beli belah kat sini, just ambik gambar saja. Sebabnya aku nak shopping masa kat Pnom Penh nanti. Kalau korang mai ke Kemboja dan lawatan tersebut melibatkan dua daerah ni Siem Reap dan Pnom Penh, eloklah korang simpan duit shopping tu di Pnom Penh sahaja sebab kat sana lebih murah lagi. Petua shopping di Kemboja, kalau tawar menawar tu, korang potong 70% terus dari harga yang dia orang tawarkan. Kalau tak bagi belah tempat lain pulak sampailah kita dapat harga yang kita nak tu.
Lawatan terakhir kami sebelum bertolak ke Pnom Penh ialah ke kilang Sutera. Patutlah harga kain sutera tu mahal harganya. Rupanya nak dapatkan benang tu bukan main susah lagi. Dah dapat benang pulak, nak tenu jadi jadi kain pun satu hal pulak, bukan satu kerja yang senang.
Satu benda yang aku merasa takjub kat sini ialah, untuk menenun kain tu, bukannya ada mesin yang canggih-cangih yang harganya jutaan ringgit. Tapi kat sini mesinnya hanyalah buatan sendiri para pekerjanya yang hanya diperbuat dari kayu, buluh dan rim basikal.
Lihatlah sendiri bagaimana canggihnya mesin dia orang ni. Takde mahalnya pun. Buat sendiri sajer....
.
Antara Info berguna di Siem Reap ialah
#####Mata wang Kemboja semuanya guna USD.
#####1USD sama dengan 4000 riel.
#####Lebih seronok mengembara guna basikal kat Siem Reap ni. Harganya 2USD sehari.
#####Kalau datang sendiri sewa jer Tut-tut untuk sehari, sewanya lebih kurang 25USD sehari.
#####Ingat Airport tax kene simpan dalam 25 USD. Jangan dok perabih shopping jer.
#####Naik bas dari Siem Reap ke Pnom Penh lebih kurang 6 ke 7 jam.
Ok cukup kat sini untuk catatan Siem Reap, jumpa nanti dalam edisi Pnom Penh.......

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails