Tuesday, January 19, 2016

Kayuhan ke Betong, Thailand ~ Menjejak Terowong Komunis, Piyamit Tunnel

Kesempatan cuti mingguan Sabtu Ahad telah digunakan sebaik mungkin dan sebagai mukaddimah bermulanya aktiviti outdoor bagi tahun 2016. Kali ini kami memilih untuk melakukan kayuhan dari Masjid Jamek Pengkalan Hulu menuju ke terowong komunis yang dikenali sebagai Piyamit Tunnel, berdekatan pekan Betong, Thailand.

Seramai 19 orang menyahut seruan kali ini dimana terdiri daripada 17 rider dan 2 orang sebagai escort rider menggunakan Exora putihku. Kayuhan kami bermula dari Masjid Jamek Pengkalan Hulu, dimana kami bertolak dari Bukit Mertajam, Penang pada jam 5.00 pagi dan sampai di masjid lebih kurang jam 6.30 pagi dan sempat lagi bersembahyang subuh berjemaah dengan warga kariah Pengkalan Hulu.


Selesai sembahyang, kami bersarapan dihadapan masjid sahaja, jadi senang tak perlu nak bergerak ke tempat lain. Selesai sarapan, segala persiapan untuk kayuhan dilakukan dan setelah bersedia tepat jam 9.00 pagi kami memulakan kayuhan ke pintu sempadan terlebih dahulu yang jaraknya lebih kurang 6 km.



Urusan cop pasport di pintu sempadan kedua-dua belah negara berjalan lancar. Walaupun hari ini hari cuti Sabtu, tidak ramai pelancong yang kelihatan, jadi memudahkan segala urusan kami. Dari pintu sempadan sebelah Betong, kayuhan kami adalah secara downhill terus hingga sampai ke pekan Betong yang jaraknya lebih kurang 7 km sahaja. Sampai di pekan Betong keadaan pekannya taklah sesibuk mana, nampak tenang sekali disini berbanding Hat Yai. Kelihatan banyak juga kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia.






Dari Pekan Betong untuk menuju ke Piyamit Tunnel, jalannya adalah kebanyakan mendaki di semua tempat. Sesekali sahaja kami dapat bonus downhill, itupun sekejap sahaja. Untuk menuju ke terowong Komunis ini tidaklah jauh manapun, hanya lebih kurang 16 km sahaja dari pekan Betong dan untuk mencari arah kesini juga tidaklah sesusah mana kerana banyak signboard yang terdapat disini.









Dalam perjalanan kita akan melalui simpang ke Kebun Bunga dan juga Betong Hot Spring. 4.5 km terakhir adalah pendakian yang paling mengazabkan. Ketinggian juga mendebarkan dan memenatkan.. Hanya mental yang kental sahaja mampu melawannya. Pendakian terakhir sejauh 4.5 km ini sahaja memperlihatkan lebih kurang 3 dan 4 kali berhenti. Setelah berhempas pulas memerah keringat akhirnya kami sampai jugak akhirnya ke terowong komunis ini. Alhamdulillah puas terasa.





Dah sampai sini, kami tidak melepaskan peluang untuk melawat tempat bersejarah terowong komunis yang mana dulunya digunakan oleh pihak PKM untuk bersembunyi dari musuh mereka. Untuk sampai ke pintu masuk terowong ini perlu hiking sikit sejauh 2 km. Bayaran masuk pula RM 5.50 dikenakan pada semua pelancong. Terowong di sini dijaga oleh bekas-bekas pihak komunis dahulunya orang Malaysia kita. Mereka ini masih fasih berbahasa melayu dan dari perbualan kami, mereka ini sesekali masih lagi pulang ke Malaysia menggunakan pasport Siam.


Dalam perjalanan turun dari terowong\, kita akan melalui sepohon pokok yang amat besar yang dikenali sebagai "Thousand Tree". Memang cukup besar sekali dengan akar banirnya yang berselirat. Kesemua kami tidak melepaskan peluang bergambar disini.





Setelah habis sesi lawatan  dan puas berehat kami memulakan kayuhan turun dan masing2 rider bersiap dan berhati2 utk downhill yang begitu mencabar sekali yang mana tadinya kami uphill sehingga terjelir lidah. Memang betullah orang kata satu benda paling syok dalam dunia ialah naik basikal turun bukit,



Namun, malang itu memang tidak berbau, salah seorang rider kami iaitu Wan Saidi telah mengalami kemalangan dan jatuh tersungkur diatas jalanraya ditewaskan oleh seekor ayam Siam.. Kini beliau fobia terhadap apa-apa bende yang dipanggil Ayam....hehe..gurau sikitnya Saidi. Nasib baik ayam tidak mati hanya mengalami patah kaki manakala sahabatku ini mengalami luka-luka dibadan dan tangan dan beliau terus dimasukkan ke dalam Exora dan berehat sepenuhnya hingga sampai di Hotel.


Setelah memberikan sedikit rawatan kami meneruskan kembali kayuhan kami untuk ke hotel dipekan Betong iaitu di Sri Betong Hotel yang disewa dengan kadar RM 99. Kalau pakai bath 800 bath sahaja. Teruk duit kita jatuh. Hotel ni boleh angkut basikal masuk bilik terus. Jadi kalau ada team basikal nak buat kayuhan disini bolehlah menginap disini. Hotel ni memang strategik betul2 tengah town dekat pula dengan masjid dan kedai makan Halal.

Malam di Betong kami gunakan hanya bersiar-siar disekitar pekan ini sahaja. Kat sini kedai-kedai tutup awal, lebih kurang jam 9 malam boleh dikatakan semua kedai dah nak tutup. Yang buka cumalah rumah-rumah urut dan ehem-ehem punya tempat.

Esoknya kami check out jam 9 pagi dan kalau kelmarinya downhill dari pintu sempadan, hari ni uphill lah punla yer. Tapi taklah seazab nak sampai terowong Piyamit tu. Kami tiba di pintu sempadan jam 11 pagi. Urusan cop pasport juga mudah, tak banyak karenah dan tak ramai orang.




Kami sampai balik digarisan penamat di masjid Pengkalan Hulu jam 11.30 pagi. Alhamdulillah semua rider selamat kecuali seorang rebah penangan seekor ayam Siam..... Memang bernanah lah nanti kene kutukan sehinggalah ada cerita baru yang timbul.....



Tahniah semua untuk trip kali ini yang boleh dikatakan cukup berjaya kerana berjaya menghimpunkan ramai rider-rider. Moga jumpa lagi nanti di trip seterusnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails