Wednesday, November 14, 2012

Kayak Pusing Pulau Pinang 2012

 Tahun 2012 ini sekali lagi Pusat Kokurikulum Pulau Pinang menganjurkan siri XPDC berkayak mengelilingi Pulau Pinang untuk Jurulatih Pusat Kokurikulum seluruh Malaysia. Kali ini jemputan peserta diperlebarkan ke setiap negeri, namun begitu hanya terdapat 7 negeri sahaja yang sedia menyahut cabran pada kali ini.
 Negeri-negeri yang terlibat pada XPDC kali ini adalah terdiri daripada Kedah, Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Pulau Pinang sendiri selaku tuan rumah. Agensi yang sama turut membantu adalah terdiri daripada pihak Polis Marin yang membantu dengan 4 buah bot, pihak Maritim dengan sebuah bot dan Jabatan Pelajaran Kedah dengan sebuah bot.
 XPDC kali ini amat meriah sekali kerana terdapat lebih kurang 10 buah bot yang mengiringi hampir 19 buah kayak. Keterujaan amat jelas terpancar pada riak wajah peserta kerana pada kali ini keadaan air laut dan cuaca jelas memihak kepada kami. Sepanjkang XPDC berlangsung, peserta langsung tidak ditimpa hujan. Hujan hanya turun pada sebelah malam sahaja, itupun hanya hujan renyai-renyai sahaja.
 Alhamdulillah juga kesemua peserta yang menyertai kayuhan pada kali ini selamat mengemudi jentera mereka dengan sebaik mungkin yang berjaya menghindarkan terjadinya perkara yang tidak diingini sepanjang XPDC berlangsung.
 Hari pertama kayuhan pada 6 November 2012, peserta memulakan kayuhan dari Pusat Latihan Sukan Air Teluk Kumbar ke kawasan Pantai Kerachut. Kayuhan pada hari pertama dengan jarak kayuhan 27 km memakan masa lebih kurang 7 jam. Kami hanya berhenti rehat di pantai BTN Balik Pulau sebelum meneruskan kayuhan dan berhenti makan tengahari di tengah laut sahaja.
 Di Pantai Kerachut kami hanya berkhemah disitu dan alhamdulillah cuaca elok dan peserta dapat tidur lena pada hari pertama.
 Hari kedua kayuhan dimulakan dari pantai Kerachut ke Padang Kota dengan jaraknya lebih kurang 26 km. Kali ini kayuhan disajikan dengan sedikit pemandangan yang indah, kawasan pantai Batu Feringgi. Kali ini kami hanyta berehat di Pantai Miami untuk makan tengahari disitu.
 Kayuhan diteruskan sehingga kami sampai di Padang Kota, yang mana kami hanya menumpang tidur di padang Sek Men St. Xavier. Kayuhan pada hari kedua memakan masa lebih kurang 6 jam sahaja. Ini mungkin kerana faktor keadaan air yang tenang dan kurang berarus.

 Hari ketiga kayuhan dimulakan dari Padang Kota ke Teluk Kumbar. Kami telah berhenti sebentar di sebelah kapal Star Cruise untuk bergambar dan masing-masing teruja untuk bergambar di sini.
 Cabaran seterusnya ialah sewaktu cuba melepasi feri. Seperti satu penghormatan kepada kami kerana kesemua feri yang lalu lalang berhenti terlebih dahulu untuk memberi laluan kepada kami untuk melepasinya sebelum mereka meneruskan operasi.

 Satu lagi pengalaman yang sukar untuk diperolehi ialah sewaktu singgah di sebuah pulau di sebelah jambatan Pulau Pinang iaitu yang dikenali sebagai pulau Gozambo. Kalau nak datang sendri memang tak berkesempatanlah, tapi kali ini kami betul-betul berada di sebelah jambatan dan dapat melihat jambatan dari bawah dan saat ini tak dilepaskan untuk menangkap seberapa banyak memori di sini.
 
 Hari ketiga ini boleh dikatakan kayuhannya cukup santai dan mengasyikkan, kerana banyak saat indah yang ditempuhi sepanjang laluan. Seterusnya kami menikmati pula saat berkayuh di bawah jambatan pertama Pulau Pinang. Jambatan yang kini menjadi sejarah kerana kini sudah ada jambatan kedua di Pulau Pinang yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar.
 
 Jambatan kedua yang dijangkakan siap sepenuhnya pada penghujung 2013 nanti juga sempat kami lalui dibawahnya menjadikan rasnaya cukup lengkap pengalaman berkayak pada kali ini. Walaupun jarak kayuhan pada hari ketiga ini paling dekat iaitu 24 km sahaja, tapi hati ini cukup puas menikmatinya.
 Penutup cabaran kayak mengelilingi Pulau Pinang pada hari katiga ini kami diuni dengan keadaan gelora di kawasan perairan Permatang Damar Laut. Air disini bergelora dam berombak menyebabkan kayak sedikit terombang ambing dan ada kayak yang terpaksa di tunda untuki melepasinya disaat sisa-sisa tenaga masih berbaki sedikit sahaja lagi.

Alhamdulillah setelah melepasi gelora Permatang Damar Laut, kami berjaya juga akhirnya....Yesss hati terasa puas, satu pencapaian peribadi yang sungguh bermakna dalam bidang kayak. Boleh dikatan lesen besar buat penggiat sukan kayak bila berjaya melepasi cabaran berkayuh sejauh 80 km dalam masa 3 hari.

Pada semua yang telah berjaya mengharungi cabaran kayak kali ini, syabas diucapkan dan terima kasih juga atas semangat dan komitmen yang telah kalian ditunjukkan. Memori dan cabaran kali ini menyedarkan kita setakat mana kemampuan dan ketahanan kita sebenarnya.

Untuk menikmati keseluruhan memori tersebut kliklah sahaja link-link kat bawah ni:-
Day 1
Day 2
Day 3

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails