Pendakian kali ini merupakan pengalaman kali ke 5 menjejak kaki ke Gunung Kinabalu. Dan kali kelima juga berjaya sampai kepuncak. Alhamdulillah kali ini aku membawa grup seramai 25 orang Jurulatih Pusat Kokurikulum Pulau Pinang untuk merealisasikan impian mereka.
Tanggal 10 dan 11 Mac 2015 yang lalu kami seramai 25 orang telah memulakan cabaran dari pintu Timpohon ke Laban Rata. Masing-masing bersemangat waja untuk sampai ke puncak. Rata-rata grup kali ini kali pertama mendaki ke Gunung Kinabalu. Jadi jangkaan dan semangat mereka begitu tinggi sekali.
Perjalanan dimulakan dari Tamparuli iaitu di Pusat Kokurikulum Sabah tempat kami menginap. Kami bertolak seawal jam 5 pagi lagi. Kami sampai di Kinabalu Park pada jam 8.00 pagi. Setelah menyelesaikan urusan dokumentasi dan penyimpanan beg kami memulakan pendakian di pintu Timpohon pada jam 10.30 pagi.
Memulakan pendakian, semua begitu bersemangat, Yang dah biasa mendaki hanya berjalan santai sahaja, tetapi bagi yang muda dan pertama kali sampai ke Kinabalu, mereka ini awal lagi sudah pecut meninggalkan kami yang dah veteran ini.
Cuaca pada pagi itu amat baik sekali. Kali ini pendakian terasa seperti amat penat sekali. Ini mungkin kerana faktor udara yang terlalu nipis membuatkan kami terlalu cepat penat. Bukan aku sahaja yang terasa seperti itu malah boleh dikatakan semua ahli grup menyatakan pendakian pada kali ini amat terasa penat sekali. Mungkin faktor umur juga turut memberi efek kepada pendakian kali ini.
Masih teringat lagi pendakian aku yang terakhir kesini ialah pada tahun 2011 yang lalu dan bersama isteri pada tahun 2010. Mendaki Kinabalu memang tak pernah terasa puas. Pasti ada sahaj kelainan yang terasa pada setiap pendakian.
Lihatlah sahaja pada panorama dan keindahan alam yang tercipta. Memang indah
alam ciptaan Allah ini/
Kami berjaya sampai di Laban Rata pada jam 5 petang. Alhamdulillah walaupun perit, tapi terasa puas. Walaupun perjalanan ke puncak masih lagi jauh, tetapi menikmati secawan kopi di kafe Laban Rata memang satu pengalaman yang sukar dilupakan.
Pendakian kepuncak bermula jam 3 pagi 11 hb. Dalam samar-samar kegelapan pagi hari bertemankan lampu suluh di kepala kami berduyun-duyun menyusun langkah mengejar satu impian di puncak Kinabalu. Kalau pendakian dari Timpohon ke Laban Rata terasa perit, perjalanan kepuncak lagilah terasa akan keperitannya. Bergerak hanya beberapa langkah terpaksa berhenti untuk merehatkan diri. Dalam diri terasa juga mahu 'give up' tetapi kaki terus menyusun langkah. Mental terus melawan fizikal.
Setelah berhempas pulas melawan semangat diri dan menyusun ketabahan akhirnya pada jam 7.30 pagi kami berdua berjaya juga sampai ke puncak. Walaupun tidak sebagai orang pertama tapi kejayaan sampai kepuncak Kinabalu merupakan satu kejayaan melawan keupayaan diri sendiri.
Pemandangan di puncak Kinabalu pada pagi 11 Mac 2015 memang cukup indah sekali. Cuaca begitu cerah tapi angin tak usah nak dikatalah, memang cukup sejuk sekali. bukan lagi sejuk tetapi dingin.
Kami tidak berada lama di puncak, cukup bergambar sebentar kami terus menyusun langkah menuruni lembah Kinabalu dengan satu perasaan yang puas dan kebanggaan kerana sekali lagi dapat menawan puncak Kinabalu.
Walaupun dikalangan rakan-rakan yang lain ada yang berkata cukuplah tak mahu sudah naik Kinabalu, namun bagi diriku, perjalanan ke puncak Kinabalu akan kuteruskan lagi selagi hayat ini masih ada.
Perjalanan menuruni Kinabalu terasa sakit sikit kerana lutut juga telah mulai longgar, Terpaksa menggunakan bantuan tongkat. Dalam keperitan itu aku bersama isteri berjaya sampai kembali ke pintu Timpohon pada jam 3 petang. Alhamdulillah semuanya selamat.
Kejayaan mendaki puncak Kinabalu bukanlah sesuatu yang hendak dibanggakan tetapi ianya merupakan satu kepuasan apabila kita berjaya mencapai sesuatu yang sukar di capai dimata orang, dan kejayaan menakluk diri sendiri dalam melawan kemampuan mental dan fizikal membuatkan kita semakin tabah dan kuat dalam meniti saat-saat terakhir kehidupan.............wasssalam.
No comments:
Post a Comment