Monday, August 12, 2019

Log Gunung Ulu Sepat 2161 meter

Tarikh : 3 -5 Ogos 2019
Gunung : Ulu Sepat, via Sungai Siput, Perak
Ketinggian : 2161 meter
Peserta : 25 orang



Tanggal 3 - 5 Ogos 2019, sebuah lagi Gunung dalam kategori G7 iaitu gunung yang melebihi 2000 meter ketinggian dari paras laut. Gunung Ulu Sepat merupakan gunung ke 7 tertinggi di Semenanjung Malaysia dan antara gunung yang paling susah untuk didaki dalam kategori G7.



Untuk menawan gunung Ulu Sepat, kita boleh menggabungkan pendakian bersama gunung Chamah dan dikenali sebagai Trans CUS dan akan mengambil masa lebih kurang 6 hari 5 malam. Tapi kami memilih untuk melakukan pendakian Gunung Ulu Sepat sahaja kerana tidak mempunyai masa yang panjang disamping lebih santai dan rilek sedikit.



Kami telah bertolak dari Pulau Pinang pada jam 10 malam 2 Ogos 2019 dengan menggunakan 5 buah kereta. Perjalanan ke tempat berkumpul dan menaiki 4 x 4 adalah di Masjid Bawong, Sg. Siput. Mengambil masa lebih kurang 3 jam perjalanan dari Pulau Pinang. Tiba di Masjid Bawong lebih kurang jam 1.00 pagi. Sebelum tidur, aku menyiapkan dahulu menu sarapan untuk esok pagi sekadar sandwich dan memasak nasi dan ayam goreng untuk bekalan makan tengahari on trek nanti.
Semua selesai jam 3 pagi, sempat lelapkan mata dalam 3 jam.

Guide kami dari Silver Outdoor Sports iaitu saudara Ijam dan Paan.  Waktu pertemuan ialah jam 6.30 pagi. Alhamdulillah guide kami beserta 2 buah 4x4 tiba on time kali ini. Setelah bersiap segala kelengkapan dan beg-beg dinaikkan diatas 4x4, lebih kurang jam 7.00 pagi kami mula bergerak masuk ke starting point. 2 buah 4x4 yang dipandu oleh saudara Sala  dan Musz sebagai pilot kami telah membelah kedinginan pagi menuju ke Pos Kemar. Perjalanan dengan 4x4 dijangkakan lebih kurang 4 jam. Boleh bayang dah nanti bagaimana keadaan trek masuk, pasti bergoyang goyang dan boleh bikin muntah pada siapa yang tak tahan.

Pemanduan masuk ke Pos Kemar amat lancar. Kami cuma berhenti sebanyak 2 kali dipertengahan jalan kerana berhenti untuk rehat dan qadha hajat.  Tiba di Pos Kemar lebih kurang jam 11 pagi. Setelah bersiap lebih kurang dan memakai pakaian dan kasut yang sesuai, guide saudara Ijam memperkenalkan diri dan memberi sedikit briefing untuk sesi pendakian pada hari ini ke Kem Sungai Lenweng tempat campsite kami hari ini. Perjalanan hari ini lebih kurang 4 jam juga untuk sampai ke campsite.


Perjalanan hari pertama akan melalui beberapa anak sungai yang mana ada yang perlu diranduk dan ada juga yang boleh dielak dengan meniti atas titian balak dan batu-batu sungai. Seingat aku ada lebih kurang 4 ke 5 buah anak sungai yang perlu dilepasi. Ada sebuah anak sungai iaitu sungai pertama yang ditempuhi yang mana mahu atau tidak perlu diranduk airnya untuk ke seberang.






Trek seperti biasalah dalam pendakian ada turun dan naik, tapi kebanyakannya menaiklah, tapi tidaklah terlalu memacak sangat. Dipendekkan cerita layan turun naik trek kami akhirnya tiba di satu pondok orang asli berdekatan Kem Sg. Lenweng. Sebenarnya kita boleh bermalam disini jika tidak mahu memasang khemah atau Fly. Kos sewaan pondok ialah RM 5 seorang dan dibayar pada seorang Tok Batin yang ada disitu. Ada beberapa pondok yang boleh disewa. Pondok ini dibuat dari buluh. Jika tak mahu membawa Khemah dan Fly sheet yang berat bolehlah buat keputusan awal untuk menginap disini.


Grup kami akan berkhemah di campsite di Kem Sg. Lenweng. Apa barang masuk hutan jauh-jauh kalau tak tido bawah Fly dan merasai masak sama-sama kan. Campsite Kem Sg. Lenweng hanya 10 minit sahaja jaraknya dari Pondok orang asli ini. Kami tiba di campsite lebih kurang jam 4.30 petang. Campsitenya sangat luas boleh memuatkan 50 orang macam tu. Pada hari tersebut terdapat 3 grup yang berkhemah disitu dan satu grup lagi tido di Pondok Orang Asli tersebut.


Alhamdulillah pendakian hari pertama selamat tiba dengan jayanya di campsite. Malam itu kami masak sama-sama dan bersembang rancak sambil beramah mesra dengan grup sebelah. Ada juga grup kami yang tido awal merehatkan badan setelah berperang seharian hari ini melawan minda masing-masing. Esok kami akan memulakan pendakian ke puncak pada jam 8 pagi. Grup sebelah kami akan memulakan pendakian pada jam 2 pagi dan satu lagi grup akan mula jam 4.30 pagi.



Pendakian hari kedua, 4 Ogos, Summit Attack ke puncak Ulu Sepat. Guide mulakan dengan memberi sedikit briefing tentang geografi tanah dan ketinggian serta bentuk muka bumi yang akan dilalui. Anggaran masa yang diberikan ke puncak sekitar 4 ke 6 jam bergantung pada stamina ahli grup. Trek memang akan terus memacak selepas pokok Balak Besar yang menjadi lokasi wajib penggambaran dan swafoto.



Selepas sedikit regangan dan bacaan doa kami memulakan pendakian dengan didahului oleh Guide Ijam. 20 minit sampai di pokok Balak Besar, bergambar grup dan teruskan pendakian memacak. Layan trek memacak dan terus memacak, naik, naik dan terus menaik. G7 punya gununglah kan. Akhirnya kami tiba di Last waterpoint setelah 3 jam pendakian. Kat sini viewnya amat cantik, boleh nampak gunung-gunung sekitar. Tiada seorang pun ahli grup yang turun topup air kerana masing-masing memang dah bawa air yang mencukupi untuk ke puncak. Tambahan tak terasa sangat dahaganya, mungkin suasana yang dingin mengurangkan kami meminum air. Seingat akulah, tak habis sebotol air pun untuk pendakian dari Campsite ke puncak.



Setelah duduk berehat lebih kurang setengah jam di Last waterpoint, kami meneruskan pendakian untuk fasa terakhir. Setelah melalui denai yang terus memacak lagi akhirnya kami sampai ke kawasan hutan berlumut dan terdapat satu simpang disini yang boleh terus ke Gunung Chamah. Kat sini lama jgaklah kami dok berswafoto kerana takjub dengan kaindahan hutan lumut berdekatan puncak Ulu Sepat ini. Lebih kurang 30 minit dari Hutan Mossy ini, kami akhirnya tiba di puncak Ulu Sepat dengan ketinggian 2161 meter. Gunung ke 7 tertinggi di Semenanjung Malaysia.  Dan juga ini merupakan gunung ke 6 dalam kategori G7 yang telah berjaya aku tawan. Dah nak grade tak lama lagi.



Semua team kami telah berjaya sampai ke puncak dalam keadaan yang selamat dan 'on time' dalam satu kumpulan besar. Tiada ahli grup yang tertinggal jauh dibelakang. Memang cukup puas hati dengan prestasi semua ahli kali ini. Kami semua lunch dipuncak dengan berbekalkan nasi putih yang siap ditapau dari campsite dan berlaukkan ayam kari Adabi. Semua ahli grup cukup ceria dan puas hati kerana dapat tiba dengan selamat di puncak.






Setelah berehat lebih kurang 45 minit dipuncak, kami memulakan perjalanan turun. Perjalanan turun lebih mencabar kerana terpaksa memasang kuda-kuda agar tidak mudah tergelincir ataupun tersadung akar. Perjalanan turun seawal jam 2.00 petang dan kami tiba di Last waterpoint sejam  kemudian. Setelah semua ahli sampai dan regrup kembali, guide membenarkan 3 orang kami untuk shoot  turun dahulu untuk menyediakan makan malam. Kalau masa pendakian naik, kami ambil masa 3 jam untuk sampai ke Last waterpoint, tapi masa turun kami 3 orang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja.  Kami berlari turun, Segala ilmu dalam bidang larian ultra telah digunakan dengan sebaik mungkin bagi mengelak tersilap langkah. Trek menurun memang cukup selesa sekali untuk berlari kerana akarnya yang kurang dan tanah yang absorb.



Setelah tiba di campsite, kami terus menyediakan makan malam untuk semua ahli grup. Sejam setengah kemudian semua ahli grup telah tiba ke campsite. Alhamdulillah semua masih cergas.
Malam itu kami makan awal sedikit pada jam 7.00 malam sebelum maghrib dan harapnya boleh berehat awal malam ini. Esok kami akan mula keluar jam 9.00 pagi. Alhamdulillah juga sepanjang 2 malam di Kemsite ini, kami tak ditimpa hujan langsung, cumanya pada jam 1 pagi memang terasa sekali kedinginan disini. Sleeping beg yang sebelum ini tidak pernah gagal menahan kesejukan tapi di Ulu Sepat ianya tewas, Setelah tersedar pada jam  2 pagi pada malam pertama terus tak lena tido dibuatnya dek kerana dok menahan kesejukan.  Air sungainya lagilah sejuk, lain benar dengan sungai-sungai dicampsite gunung sebelum ini.




Hari ketiga 5 Ogos 2019, kami tidaklah tergesa-gesa sangat untuk bersiap awal. Tukang masak pun taklah kalut sangat nak menyediakan sarapan dan bekalan dalam perjalanan. Ahli-ahli lain juga sempat lagi mandi manda pada pagi tersebut. Setelah bersarapan, dan meruntuhkan Fly masing-masing kami bergotong royong  membersihkan dahulu kawasan sekitar tapak perkhemahan. Sampah sarap dibawa keluar terus, tidak sama sekali kami tinggalkan. Harap kawasan ini sentiasa terjaga kebersihannya.



Guide memberikan sedikit taklimat sebelum bergerak turun dan kami telah setkan untuk lunch di sungai terakhir sebelum tiba di Pos Kemar. Perjalanan turun juga dijangka sekitar 4 ke 5 jam. Memang tak boleh laju sebab kami memikul beg besar yang sama sewaktu datang, yang bezanya cuma ringan sedikit sebab kebanyakan ration makanan telah habis di makan.



Pergerakan turun berjalan lancar dan kami tiba di sungai terakhir untuk lunch pada jam 1.15 tengahari. Ramai ahli grup yang ambil peluang untuk mandi manda disini sambil makan tengahari. Seytelah selesai semua kami teruskan perjalanan ke Pos Kemar dan tiba di lokasi pick up point pada jam 2.30 petang. Tersasar setengah jam dari waktu perjumpaan dengan abang 4x4. Ni semua sebab lama sangat dok mandi  kat last sungai tadilah. Sebelum bergerak meninggalkan Pos Kemar, kami sempat mengagihkan coklat dan gulu-gula kepada anak-anak orang asli di Pos Kemar. Terlihat kegirangan anak-anak orang asli ini apabila kita mengagihkan makanan kepada mereka.



Lebih kurang jam 3.00 petang kami bergerak keluar dengan 2 buah 4x4 yang dipandu oleh saudara Kay dan Musz dan tiba di Masjid Bawong 3 jam berikutnya. Masing-masing mandi dan bersiap disini dan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Terima kasih kepada semua ahli grup kerana kerjasama dalam trip kali ini.Terima kasih juga kepada guide dari S.O.S. saudara Ijam dan Paan. Jasa kali tetap kami kenang. InsyaAllah kita akan selesaikan misi graduasi G7 kita tahun ini juga. Gunung Chamah, kau tunggu, kami datang nanti.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails