Thursday, November 17, 2011

Sungai Sedim White Water Rafting Expeditions

Kali ini pada 13 dan 14 November, aku seperti biasa bersama grup PULAKOPP telah mengikuti satu lagi sesi cabaran getir iaitu menempuh cabaran Berakit Arus Deras atau lebih glamour lagi di sebut White Water.
.
Bertempat di Sungai Sedim dan menggunakan khidmat Jurupandu Air dari Rafid Fire Adventures. Pergerakan dari Pusat Ko bermula jam 6.45 pagi dengan menggunakan bas persiaran sewa khas dan sampai di Sedim lebih kurang jam 8.30 pagi. Sampai sahaja kami terus bersarapan dan berjumpa dengan Abg Zali yang incharge kami untuk aktiviti kali ini.
Sebaik kami sampai itu, pihak Rapid Fire telah bersiap sedia dengan Raft yang telah diangkut ke dalam 4x4 untuk dihantar ke starting point.
.
Setelah kami bersiap-siap dengan pakaian aktiviti, satu penerangan dan taklimat ringkas telah diberikan oleh pihak Rapid Fire tentang peraturan dan perkara yang patut kami lakukan dan elakkan. Oleh kerana antara kami ada yang masih baru lagi dalam bidang ni, maka penerangan terperinci harus diberikan.
Trip White Water kali ini kami memilih pakej mencabar iaitu selama 6 jam untuk hari pertama dan pada hari kedua pakej santai selama 2 jam. Kami terpaksa berjalan dahulu ke starting point kerana 4x4 yang ditunggu untuk mengambil kami tidak berpatah balik. Ini kerana laluan ke starting point terlalu bersemak dan sesetengahnya dihalangi oleh pokok tumbang dan ranting buluh yang merintangi jalan.
.
Oleh sebab itu mereka terpaksa menebas dahulu halangan-halangan tersebut. Lebih kurang jam 10.45 pagi, kami tiba di starting point. Deruan air sungai sedim membuatkan kami lebih teruja. Semuanya rasa tak sabar untuk merasai pengalaman Rafting. Ada kalangan peserta yang mukanya nampak pucat kerana terpikir adakah aku akan berjaya mengikuti program ini. Ada pula yang terpikir betul ke apa yang aku buat ni.
Semua guide kami sedang sibuk mengepam Raft yang akan kami gunakan nanti. Sementara menunggu semua Raft selesai diisi angin, kami membuat Water Confident terlebih dahulu. Oleh kerana ramai yang masih baru dalam bidang ni dan ada juga yang fobia dengan air, tetapi disebabkan semangat nak mencuba sesuatu yang baru, sebab itulah mereka berada disini.
.
Jam 12 tgh kami memulakan ekspedisi. Setiap Raft terdapat 5 org beserta Skipper dari Rapid Fire. Disamping itu terdapat juga Rescue Man yang bergerak dengan 2 kayak single dan juga 3 orang dengan Tubing.
Satu demi satu jeram kami tempuhi. Permulaan trek masih ok, jeram tidak terlalu besar, namun cukup mendebarkan bagi yang masih baru. Setelah menempuh jeram yang ketiga sahaj sudah ada kalangan peserta yang jatuh dari Raft setelah menumph jeram yang agak berliku.
Terdapat juga laluan di mana para peserta terpaksa turun dari raft dan hanya raft sahaja yang melalui laluan tersebut. Ini kerana terdapat batang kayu yang merintangi laluan. Fenomena ini disebabkan keadaan 'Ibu Air' yang membawa kayu-kayu besar dan tersangkut pada batu-batu besar di situ.
Satu jeram yang amat mendebarkan peserta yang dikenali sebagai "Triple Night Mare". Jeram ini dilalui secara satu persatu oleh setiap Raft. Ada Raft yang berjaya melalui dengan sekali harung sahaja terus sampai di kawasan air tenang, Namun kebanyakan raft tersangkut di tengah jeram di kawasan air berpusar dan memerlukan mereka memerah tenaga untuk berkayuh bagi melepasi jeram. Raft terakhir yang melepasi jeram tersebut, pada mulanya berjaya melepasi dengan baik, tidak tersangkut di kawasan air berpusar namun setelah tiba di penghujung jeram, Raft tersebut telah terbalik dan menyebabkan berlaku sedikit kecederaan di kawasan hidung.
.
Namun disebabkan semangat untuk mencuba sesuatu yang baru, ekspedisi diteruskan tanpa berpatah balik. Begitulah resam aktiviti outdoor ni, calar-calar dan luka sedikit itu biasa sahaja bagi kami.
.
Satu lagi kejadian mencemaskan berlaku apabila tiga buah Raft telah melalui satu jeram yang sempit. Ini kerana 3 Raft ini berada di bahagian belakang dan tidak menyedari bahawa 3 Raft hadapan, pesertanya telah turun dan hanya Raft sahaja yang dihanyutkan. Jadi apabila mereka melalui jeram tersebut, kesemua sekali peserta dari ketiga-tiga raft itu telah terbalik dikawasan air yang cukup laju. Seorang peserta tertelan air yang amat banyak dan terpaksa diberikan rawatan kecemasan. Ditambah pula terkejut akan saat mencemaskan yang baru berlaku. Peserta itu terpaksa di bawa pulang dengan segera ke base Camp dengan raft.
Setelah saat mencemaskan tadi berlalu, semua peserta bergerak ke base camp yang hanya tinggal 10 minit sahaja pergerakannya dari tempat tadi. Kali ini aku terpaksa bertindak sebagai Skipper untuk Raft aku kerana Sklipper aku telah bergerak dahulu untuk menghantar peserta yang cedera ke base camp.
.
Tamat hari pertama dengan seribu satu cerita dan pengalaman yang amat berharga bagi kami semua. Pada sebelah malam masing-masing bercerita tentang kisah masing-masing. Ada yang tertelan air, ada yang terasa seperti nak mati apabila tenggelam dalam air dan ada pula yang hanya tersengeh mendengar cerita lucu dari rakan-rakan.
Hari kedua dimulakan dengan senaman pagi yang ringkas sahaja. Badan terasa sedikit sengal-sengal dan letih. Laluan pada hari kedua ini tidaklah terlalu panjang seperti hari pertama semalam. kali ini cuma 2 jam sahaja. Laluannya pula tidaklah terlalu mencabar seperti semalam.
.
Satu tempat yang amat mencabar pada laluan pada hari ini dikenali sebagai "Elbow Fall". Di kawasan ini semua peserta dikehendaki turun dan mengangkat kayak ke kawasan dihadapan sedikit seterusnya dilepaskan dari kawasan atas jeram. Alhamdulillah semua peserta selamat sampai ke bawah tanpa ada Raft yang terbalik. Kawasan ini amat ditakuti oleh semua peserta kerana jeramnya yang tinggi iaitu lebih kurang 15 kaki dan peserta hanya duduk berpegang pada Raft sahaja tanpa pendayung.
Setelah melalui saat mendebarkan itu, jeram-jeram seterusnya hanya biasa sahaja dan semua Raft dapat melaluinya dengan selamat. Hanya layan sahaja celahan batu-batu jeram.
.
Ekspedisi akhirnya tamat pada jam lebih kurang 11.45 pagi. Setelah mandi dan berkelah lebih kurang kami semua mengangkat kembali Raft ke dalam 4x4 yang sudah sedia menunggu dan kembali semula ke base camp.
.
Tengahari ni rasa sedap pulak nasi yang dimakan. maklumlah baru selesai main air dan tiada apa yang nak dirisaukan lagi. Semuanya sudah selamat. Kami keluar dari Rapid Fire punya Kem lebih kurang 2.40 petang dan bas sudah sedia menunggu di kawasan parking Sungai Sedim.
.
Seribu satu cerita telah dikutip, selepas ini akan tersebarlah cerita-cerita menarik ini dikalangan rakan-rakan Jurulatih yang lain.
.
Pada rakan pembaca blog ini kalau korang nak merasai sama aktiviti White Water ini boleh berhubung terus dengan aku. Aku boleh tolong aturkan. Minima peserta 8 org sahaja dan maksimum peserta 24 org. Untuk full pakej korang boleh email sahaka dekat aku kayrol_penang@yahoo.com.

1 comment:

Unknown said...

quotation berapa ya

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails