Sunday, December 30, 2012

Vietnam lagi....

Jom saper-saper nak join pi Vietnam. Kali ni aku pergi sorang jer, tiket dah beli, pastu bilik pun dah tempah. Ha bilik tu boleh muat sorang lagi, jom sapa-sapa nak join, tapi kene lelaki jer lah ya....

Tentu korang tertanya-tanya kenapa aku pergi sorang saja kan...Bukan apa kali ni aku pergi seawal bulan januari selama 3 hari 2 malam ni, sebabnya aku nak pergi borong kain-kain pasang dan kain tudung buat bisnes kat Malaysia ni. Saja jer nak try meniaga, Mana tahu kot-kot esok boleh jadi saudagar kain pulak...hehe..
 Seperti biasa hotel aku booking melalui agoda.com. Senang jer, duit bayar terus menggunakan credit card dan bilik dah confirm booking atas nama kita. Melalui pengalaman sebelum ini booking melalui agoda.com, memang tak ada masalah semasa check in. Tak tahu lah pulak pada maa akan datang. Harapnya semua berjalan lancar.

Hajatnya nanti sampai sana jer terus pi borong mana-mana kain yang berkenan dan murah-murah, lepas tu aku nak cuba survey lagi mana-mana tempat yang tak sempat diteroka semasa kunjungan sebelum ini.

Teringin nak menjejak kaki ke kawasan "Pham Lu Ngo" yang dikatakan kawasan "backpacker heaven" di Saigon ini. Pada  mulanya hajat nak booking bilik di kawasan sini, tapi disebabkan tujuan utama aku nak beli kain jadi rasanya kawasan Pham Lu Ngo ni tak berapa sesuai utnuk menginap sebab jauh sedikit dari kawasan pasar Ben Tanh dan pusat beli belah utama di Saigon ini.
Flight pulak seperti biasa aku tempah penerbangan "Air Asia". Harga yang aku dapat untuk tarikh ni taklah mahal mana dan taklah jugak dikatakan murah. Kiranya bolehlah kut. Harapnya nanti perjalanan ni selamat pergi dan balik. Bukannya lama lagi pun, dalam sebulan jer lagi. Jadi kalau ada sesaper yang berhajat nak join sama trip ni bolehlah ya. Jangan malu dan jangan segan, kita boleh jadi kawan punya.....

Saturday, December 29, 2012

The Ridge Restoren


Restoren The Ridge, sebuah lagi restoren terbaru yang bakal menjadi restoren yang akan dikunjungi ramai suatu masa nanti. Lokasinya yang begitu startegik iaitu terletak di pintu masuk  utama ke Pulau Aman iaitu di jeti Bukit Tambun. Walaupun masih baru beroperasi, Restoren The Ridge menyajikan menu-menu yang terdiri dari maskan Western, Asia dan Seafood.
 Suasana persekitaran restoren ini yang terletak dikawasan tebing tinggi yang dibina menghadap ke arah pantai dan Pulau Aman. Suasana petang disni amat mendamaikan sekali. Tiupan angin pantai begitu mengasyikkan apabila anda sedang makan di sini.
 Lihatlah panorama pantainya, indah sekali, Nun dikejauhan sayup-sayup kelihatan Jambatan Pulau Pinang. Pada waktu malam kita akan dapat melihat dengan jelas lampu-lampu di  Jambatan tersebut.
 Kawasan Restoren yang cukup luas amat sesuai sekali untuk di buat jamuan bagi meraikan atau merayakan sesuatu perkara.
 Cashier Restoren The Ridge sedang melayan pengunjungnya yang sedang menunggu giliran membayar makanan mereka.
 Menu kami petang ini air tembikai dan Mee Udang. AIr tembikai harganya RM 4 segelas, manakala mee Udang kat bawah ni harganya RM 12 sepinggan. Nampak enak kan, Nak tahu enak ke tidak mai jemput rasa sendiri.

 Kami makan, betul-betul di tepi anjung restoren ini yang menghadap tebing tinggi dan pemandangan indah persekitaran Pulau Aman.
 Jika anada bertuah kat sini jugak kita boleh tengok matahari tenggelam. Cukup indah sekali.
 Ni waktu nak senja, kelihatan rumah-rumah di Pulau Aman sedang menyalakan lampu.
 Ni antara menu masakan di Restoren The Ridge. Tak susah untuk sampai ke sini, cari sahaja sign board ke jeti Bukit Tambun. Restoren ni di sebelah kiri jeti itu sahaja. Selamat menjamu selera dan selamat berkunjung ke sini.

Bagi rakyat Pulau Pinang, mai ramai-ramai ke sini, mari kita support pengusaha Melayu kita, katanya bos restoren ni sebelum ni kerja sebuah  hotel terkemuka.

Wednesday, December 26, 2012

Azam Tahun Baru 2013

Bila di tanya apa Azam tahun baru 2013. apa anda nak jawab, masih berfikir, menerawang ke alam khayalan mencari apakah sebenarnya azam diri. Adakah azam tahun lalu sudah tercapai atau masih terkapai-kapai. Adakah berbaloi membuat azam baru atau sekadar meneruskan azam lama.

Sudah tentu bila masuk sahaja tahun baru, semua dari kita bersemangat untuk menyatakan azam masing-masing. Sebenarnya azam tahun baru dapat memotivasikan diri ini untuk berubah atau membuat perubahan pada diri daripada sesuatu yang kurang kepada sesuatu yang lebih baik.

Bagi aku pulak, boleh tak kalau aku katakan Azam aku tahun 2013 ni nak terus berjalan atau mengembara ke lebih banyak negara yang belum pernah pergi dan kalau diizinkan Allah nak sampai jugak sampai ke negara China. Itu pun kalau status kewangan mengizinkan. Setakat ni yg dah ada dalam perancangan nak sampai ke Bangkok, Chiengmai, Laos, Hanoi, Ho Chi MInh, Nanning dan Yunnan.

Nak berjalan tahap gaban, tapi duit ada ke idak. Itulah lumrah manusia, keinginannya tinggi, nak mencapai awan, tapi sayang tangan tak berapa nak sampai.

InsyaAllah kalau diizinkan Allah dan dimurahkan rezeki dan  juga dipanjangkan umur, akan aku menjelajah ke serata dunia. Kata orang banyak berjalan, luas pandangan, terbuka minda bertambah pengetahuan. Harap-harap jugak AIr Asia buatlah promo banyak-banyak yer......Ok Bye...bye.

Sunday, December 23, 2012

Da Nang, Vietnam

Sekejap tadi apabila melihat rancangan Destinasi Cinta Bersama Air Asia terbitan Astro Ria yang mengetengahkan Farish Aziz dan Zahrah ynag bercuti di Danang Vietnam, hati terus terdetik nak kene mai jugak kat sini satu hari nanti.

Sebelum ini memang dah ada agenda untuk buat backpacker naik keretapi dari Hanoi ke Ho Chi Minh selama 3 hari berkeretapi. Tapi nampaknya plan tu terpaksa di adjust sikit dimana kene singgah sehari dua di Danang sebelum meneruskan perjalanan ke Ho Chi Minh. Danang ni terletak  ditengah-tengah perjalanan antara Hanoi dan Saigon. Jaraknya 791 km dari Hanoi dimana kalau berkeretapi dari Hanoi tu ambik masa dekat 18 jam jugaklah.

Kalau naik kapal terbang pulak, Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang adalah yang ketiga selain Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Ho Chi Minh serta menjadi pintu masuk utama ke Vietnam. Ia terletak 2.5 kilometer dari barat daya pusat Da Nang. Empat penerbangan AirAsia ke Da Nang iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad dengan menggunakan pesawat AK868 dan AK869.

Danang ni terkenal dengan kawasan pantainya yang indah juga terdapat satu kawasan tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO iaitu bandar Hoi An. Hoi An ini telah mendapat pengiktirafan dari UNESCO pada tahun 1999 lagi. Daripada apa yang aku google kejap tadi bandar Hoi An ni banyak kawasan yang menarik yang boleh diterokai, antaranya Old Town, Japanese Bridge, kilang sutera dan deretan kedai dan rumah yang dihiasi Tanglung.

InsyaAllah satu masa nanti aku akan sampai jugak disini. Masih terbayang lagi suasana keindahan pemandangan yang disaksikan dalam rancangan Destinasi Cinta itu tadi. Terima kasih Astro Ria kerana membuka idea kepadaku untuk berkunjung ke sana.

Saturday, December 22, 2012

Travelouge Vietnam - Part 5

 Kali ni aku kongsikan senarai hotel-hotel yang berdekatan dengan pasar Ben Thanh. Jadi senang sikit kalau ada rakan-rakan yang bercadang nak datang Vietnam, tapi tak tahu nak tinggal hotel mana. Semua hotel-hotel yang aku senaraikan kat bawah ni berada sederet sahaja antara satu sama lain.

Kalau tak tahu macam mana tempahan, paling senang korang guna sahaja khismat agoda.com, hostelworld.com ataupun hostelbookers.com. Ada perkhidmatan yg kene bayar terus dan ada yang kita check in baru bayar. Pilihlah sendiri mana yg korang rasa senang.

Hotel Saigon Pink 2 
 Hotel Thanh Thu (bersebelah dengan hotel Saigon Pink 2)
 
Semua hotel yang aku cadang ni dekat sahaja dengan pasar Ben Thanh dan pasar malam Ben Thanh. Jadi senanglah korang nak turun membeli belah. Juga berdekatan dengan pasar Saigon Square.
 
Kat deretan hotel ni juga tak susah untuk mencari kedai makanan Muslim.
 
 Hotel Gia Huy
 Hotel An Tham
 Hotel Kelly
Hotel Hoang Hai Long 2

Travelouge Vietnam - Part 4

Kat sini aku ada senaraikan beberapa kedai makanan Muslim yang terdapat sekitar bandar Saigon terutamanya yang berdekatan dengan Ben Thanh Market.
Kesemua kedai makanan Halal yang aku senaraikan ini semuanya berdekatan dengan hotel Pink Saigon 2, Hotel An Tham, Hotel Thanh Thu dan Hotel Hoang Hai Long.
Restoren Kampung Melayu
Restoren ni betul-betul depan hotel Saigon Pink 2

Restoren Basiroh
Merupakan restoren yang menyajikan makanan pada harga yang paling murah jika dibandingkan dengan kedai-kedai yang lain. Tapi yang lecehnya kerusinya tak banyak jadi tak ramai yang boleh makan kat sini.
Restoren VN Halal.
Terletak bersebelahan dengan Baskin Robin. Juga berdekatan dengan Ben Thanh Market.
 
Restoren Abang dan Adik.
Kedai ni juga sederet dengan kedai Basiroh dan Kampung Melayu kat atas tadi. Kat sini kopinya marvelous sedapnya. Tak percaya elok kau orang cuba. Paling sedap kopi aisnya.
 

Restoren Serai.
Terletak di jalan Thu Khao Huan. Sekitar Ben Thanh Market jugak
Restoren Champa Haji Halim
Terletak di jalan Thu Khoa Huan jugak, kiranya berhadapan dengan Restoren serai kat atas tadi. Restoren ini ada kat sebelah atas, Ruang bawah digunakan untuk jual baju-baju
kurung siap dan kain pasang.
Haji Halim ini juga menyediakan pakej tour untuk ke Chu Chi Tunnel dan Sg Mekong.
 
Restoren Muslim Halal Quan Ann
Terletak di Nguyen trai, District 5. Ini sahalahhlah kedai makan yang jauh sedikit dari Ben Thanh Market.


 Harap Info tentang kedai-kedai makan Muslim yang halal ini dapat membantu sedikit sebanyak bagi rakan-rakan yang ingin berkunjung ke bandar Saigon ini. Jadi jangan risaulah yer takut tak der tempat makan halal kat sini. Boleh kata kawasan Ben Thanh Market ini satu kawasan "Malaysia Town"











Friday, December 21, 2012

Travelouge Vietnam - Part 3

Part 3 kali ini, aku cerita pulak pasal pengalaman menyusuri Sg Mekong. Juga ambil pakej dari Vinasun Travel. Kos kali ini USD 10 seorang. Syarikat Travel tu pick up kami depan hotel jam 8 pagi. Pakej kali ini mengambil masa sehari suntuk sampai jam 5 petang. Oh ya untuk pakej ni kami kene beli makan tengahari buat bekal, sebab makanan yang disediakan tidak halal. jadi bungkus nasi daging dengan harga VN 50,000.

Perjalanan ke daerah Mytho ambil masa dekat 2 jam setengah. Memang cukup lama dirasakan duduk dalam bas tu. masa ni hanya grup aku sahaja dari malaysia. yang lain-lain tu ada grup dari China, sweden dan yang bakinya tak berapa tau. Sesampai je di daerah Mytho iaitu tempat kami nak mulakan perjalanan menyusuri Sg Mekong.

Kami diarahkan oleh guide kami untuk menaiki sebuah bot panjang yang boleh memuatkan seramai 40 orang. Destinasi pertama ialah ke satu pulau yang mengusahakan penternakan madu lebah. Kat sini kami dihidang dengan madu lebah dan sedikit pertunjukan ular sawa. Boleh tangkap gambar lagi ngan ular tu. Kat sini sapa nak beli madu lebah tu juga pun boleh.

Selesai di perkampungan madu lebah, kami bergewrak pula ke kawasan perusahaan dari produk kelapa. Kat sini boleh tengok macam mana dia orang proses kelapa daripada kulit kelapa sampailah ke sabut dan daun kelapa, semuanya dijadikan barangan berguna.

Kemudian kami bergerak pula ke satu perkampungan untuk makan tengahari dan dapat melihat sedikit sebanyak kehidupan masyarakat yang tinggal disini. Oleh kerana kami bawak bekalan sendiri, maka kami diberi suatu tempat untuk menjamah juadah yang di bawa.

Akhir sesi kami di bawa menaiki sampan yang dikayuh oleh 2 orang pengayuh di depan dan belakang. Setiap sampan akan dinaiki oleh 4 penumpang. Kami dibawa menyusuri sungai kecil yang di kelilingi oleh pokok nipah. Di akhir destinasi makin banyak sampan yang kelihatan dan ruang untuk bergerak semakin sempit. Kemudian kami diminta untuk naik ke darat dan berkumpul di satu pondok dan dijamukan dengan buah-buahan tempatan sambil dinyanyikan dengan lagu-lagu tradisional tempatan. Sesekali terdengar nada nyanyian melayu dan juga lagu Rasa Sayang dalam bahasa Vietnam.


Trip Sg Mekong ni berakhir di sini, kemudian kami bergerak terus ke bot asal kami dan menuju ke jeti kami mula sampai tadi. Bagi aku trip Mekong ni agak menarik jugak dan amat memenatkan. Sebabnya perjalanan pergi dan balik tu yang tak tahannya, Amatlah jauh.

Sedikit Info berkenaan Sg Mekong:-
Sungai Mekong, yang berukuran 4180km panjang, bermula dari Tibet dan melalui Yunnan, wilayah China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. . Luas lembangan ini kira-kira 795,000 km persegi, adalah hampir sama saiz gabungan Perancis dan Jerman. Hulu sungainya beribu-ribu kilometer tinggi iaitu di Penara Tibet. Ia mengalir terus ke enam kawasan geografi berbeza, setiap satu dengan ciri-ciri berbeza dari segi ketinggian, topografi dan litupan tanah. Ia akan mengambil 2 hari dua puluh empat jam yang dimaksudkan 100 km setiap jam untuk mengalir he hilir Sungai Mekong (4800 km).
Pakar-pakar Antropologi menjejaki migrasi masyarakat Melayu Proto, yang merupakan pelaut, lebih kurang 10,000 tahun dahulu apabila mereka belayar menggunakan perahu di sepanjang Sungai Mekong dari Yunnan sehingga Laut China Selatan dan akhirnya mendiami di tempat-tempat berbeza. Menurut sejarah Khmer, tamadun terawal ialah tamadun Khmer Funan di Delta Mekong. Empayar Khmer Angkor ialah yang terakhir sebelum mereka mencari perlindungan di pelbagai tempat. Palembang dan Melaka adalah antara tempat berkenaan.

Thursday, December 20, 2012

Travelouge Vietnam - Part 2


Part kedua ni aku nak cerita terus pasal Chu Chi Tunnel.

Chu Chi Tunnel ni adalah merupakan satu terowong yang telah digunakan oleh tentera Vietnam sewaktu menentang Amerika sewaktu perang dahulu. Terowong inilah yang telah banyak membantu tentera Vietnam dan rakyatnya dari mati terbunuh semasa perang.

Untuk ke sini banyak cara boleh kita guna, Antaranya ialah menggunakan tour agen, booking terus kat hotel, sewa teksi, ataupun terus cari agen persendirian. Namun begitu harganya pastilah berbeza juga kan. Untuk selamat elok korang gunakan tour agen yang dah establish. Macam aku, aku guna syarikat Vinasun Travel, syarikat sama dengan teksi Vinasun tu. Kosnya ialah USD 7 satu kepala tak termasuk kos masuk ke Chu Chi sebanyak 90000 VN. Makan tak disediakan yer. pakej ni mula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Dia orang akan jemput kita di lobi hotel dan masa balik tu boleh terus singgah di Muzium Perang kalau nak. pastu balik sendirilah yer.

Ini pakej yang paling murah boleh dapat. Tanya kat lobi hotel, dia nak 10 USD, Tanya kat agen Champa, dia nak USD 30 termasuk makan, mahal sangat pulak. Jadi nak budget ambik yang 7 USD jer. Aku cadangkan kalau korang datang sini, kalau jumlah sikit ambik yang macam aku ambik ni jer, tapi kalau korang bawak grup besar dalam 20 orang ke atas, elok ambik terus agen Champa tu, lebih senang sikit pengurusannya.

Perjalanan ke Chu Chi Tunnel ni ambik masa dekat 2 jam jugaklah. sebelum sampai kat Chu Chi Tunnel tu, bas akan singgah di satu kilang memproses lukisan seramik. Memang cantik lukisan yang dia orang buat, tapi harganya mahal sangat.

Masa kat Chu Chi, kami akan di beri penerangan oleh guide kami tentang sejarah peperangan rakyat Vietnam ini. Memang boleh menimbulkan keinsafan. bayangkan lubang yang kecil tu mereka dapat masuk. patutlah rata-rata orang Vietnam memang semuanya slim-slim belaka. kami juga di beri peluang untuk mencuba masuk ke dalam terowong. Memang betul-betul sendat dengan tubuh aku.
Peluang untuk berjalan kat dalam terowong lebih kurang 10 meter, sudah cukup menyeksakan aku. Mana taknya aku ni dahlah tinggi, tak boleh membongkok langsung terpaksa jalan merangkak, alamatnya cepat lenguh dan sakit belakang, nasib baik ada exit yang berdekatan, terus aku ajak wife keluar. Keluar jer termengah-mengah aku dibuatnya.


Kat sini juga korang boleh mencuba untuk menembak menggunakan senjata-senjata yang pernah digunakan oleh tentera Vietnam dahulu seperti AK 47 dan M 16. yang ni jer aku ingat, ada banyak lagi. Korang kene bayar harga peluru saja, harganya boleh tahanlah jugak.

Akhir sekali sebelum tamat sesi ke Chu Chi Tunnel kami di jamu dengan ubi kayu rebus cara Vietnam. Memang nikmat sekali rasanya.

Selesai sesi Chu Chi Tunnel, kami balik terus dan singgah jam di Muzium perang dan menapak balik ke hotel. Muzium Perang ni dekat jer dengan Ben Thanht Market.

Bagi yang pertama kali datang ke Vietnam terutamanya Ho Chi Minh ni, korang patut ambik pakej ni. Tapi bila datang kali kedua tak yah dahlah kesini. Habisnya masa dan duit dengan shopping lagi bagus, he..he.

Travelouge Vietnam - Part 1


Pertama sekali, sorry you all, lama dah tak update blog ni....nungkin kesibukan dan kemalasan melanda.

Kali ni nak sembang tentang trip aku ke Vietnam pada 2 hingga 6 Disember 2012 yg lalu.
Trip ni kami pergi seramai 10 orang. Seperti biasa memang tak guna travel agen. Semua pakai researh Pak Google sajer dan redah terus. Pastu siap berani bawak kawan sampai 10 orang semuanya.

Dari pemerhatian aku sewaktu tiba di sana, Vietnam terutamanya bandar Ho Chi Minh adalah satu negara yang tidak susah untuk kita orang Malaysia untuk ke sana. Kita akan berjumpa dengan ramai orang Malaysia di sini. Tambahan pula kebanyakan peniaga di sini boleh berbahasa melayu sedikit sebanyak.

Nak cari kedai makanan halal juga tidak susah, kini telah banyak kedai dan restoren makanan halal di sini. Cuma yg tak berapa syok sikitnya dari segi harga. Amatlah mahal sekali. Purata sekali makan sekitar RM 25-RM 30 seorang. Menunya pula memang jenis makanan melayu sebabnya, kebanyakannya dipunyai oleh masayarakat Melayu Champa.

Dari segi pakej tour pula, korang boleh pilih sendiri nak yang murah atau yang mahal, Kalau murah tu boleh guna terus agen yg dah establish. Biasanya dia orang akan guna bas dan bilangan satu grup dalam 35 orang. Tapi kalau nak mahal pulak dan privacy sikit korang boleh guna agen persendirian dari kalangan orang Champa. Biasanya dia orang akan sewa Van bergantung kepada jumlah grup kita. Yang ni memang dah include makan sekali. Biasanya dalam USD 25-USD 30 seorang.

Bandar Ho Chi Minh ni memang syurga shopping bagi orang-orang Malaysia. Hargnya memang amatlah murah sesangat. Kebanyakan peniaga kain dan baju kurung di Malaysia akan datang ke sini sebulan sekali untuk mengambil stok. Bayangkanlah Butik First Lady dan Maidin pun mai ambik barang kat sini.

Tempat penginapan pulak tak susah, Kat sini banyak hotel-hotel murah. Budget dalam RM 80-RM 100 semalam sajer dah boleh dapat hotel yang selesa. Hotel ni pulak banyak yang berdekatan dengan tempat shopping. Kalau ada yang berhajat nak datang ke Vietnam cari hotel yang dekat dengan Ben Tanh Market. Korang boleh searh kat agoda.com terus untuk booking hotel. Senang dan cepat.

Mata wang yang guna kat sini Vietnam Dong, USD dolar dan Ringgit Malaysia. Aku nasihatkan kalau nak tukar duit, korang tukar sikit jer Vietnam Dong kat Malaysia, cukup untuk bayar tambang teksi sahaja, Selebihnya bawak duit Malaysia tukar kat Vietnam ni. kadar tukaran lebih tinggi kita tukar di sini.

Oklah dulu, selebihnya aku akan cerita pasal Vietnam ni dengan lebih terperinci di episod yang akan datang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails