Saturday, February 19, 2011

Hukum Nufnang, Adsense, Adverlets dan macam-macam lagilah....

Setelah lama tak menulis, kali ni nak berkongsi sikit tentang satu artikel menarik yg aku jumpa dalam satu blog kegemaran ilmiah. Harap artikel ini menjadi panduan dan renungan pada semua yg terlibat secara langsung atau tidak dalam perkara ini. Aku copy terus artikel ni dari blog tersebut setelah meminta keizinan dari tuannya, harap korang sudilah membacanya......

Salam bahagia dan salam seislam kepada semua pengunjung blog ini, Alhamdulillah hari ini Allah telah memberikan saya kekuatan untuk menulis artikel yang berkaitan buat duit dengan iklan perklik atau iklan nuffnang, google adsense, advertlets dan banyak lagi. Tujuan saya menulis artikel ini adalah disebabkan seorang dari pengunjung blog ini bertanya hukum berkaitan iklan-iklan perklik ini.


Sebenarnya, masalah ini dinamakan kontemporari (masalah baru) yang timbul dalam dunia bisnes internet. Ramai orang yang menyertainya kerana bisnes ini sangat mudah untuk menjana pendapatan sampingan, ada orang pernah memperolehi pendapatan dari bisnes ini sehingga ribuan ringgit. Sebelum itu, saya tegaskan bahawa bukan saya menegakkan benda yang haram, tetapi semua kenyataan yang dicatatkan di artikel ini adalah hasil dari kajian saya melalui sumber-sumber yang boleh dijadikan hujah. Perkara yang haram adalah jelas dan perkara yang halal adalah jelas. Bagi sesiapa yang membaca dan mempunyai pendapat yang berbeza, maka lebih baik kita berdiskusi dengan baik dan jangan menggunakan bahasa-bahasa yang kurang baik. Jagalah tingkah laku sebagai seorang Islam yang dikenali dengan akhlak yang mahmudah (baik).

Terlebih dahulu saya berikan maksud iklan perklik ini dahulu untuk memudahkan penulisan atau perbahasan saya dalam artikel ini. Maksud iklan perklik ini adalah seseorang yang memiliki blog atau laman web memohon menyertai ahli di dalam bisnes iklan perklik ini dengan syarat-syarat yang telah di tetapkan oleh syarikat pengeluar. Iklan yang dipohon dimasukkan ke dalam blog atau laman web dan dibayar pada setiap kali pengunjung mengklik iklan yang disediakan di blog atau laman web peserta. Banyak syarikat yang menyediakan perkhidmatan iklan perklik ini, contoh syarikat iklan perklik ini ialah nuffnang, google adsensa, advertlets, dapat wang, jutawan klik, adbrite dan banyak lagi. Ada syarikat yang menyediakan perkhidmatan secara percuma dan juga yang menyediakan perkhidmatan berbayar mengikut pakej yang disediakan.

Menurut pendapat saya, menyertai iklan perklik ini diharuskan kerana, di sini tidak terdapat penipuan dan penindasan dan ada ikatan perjanjian yang perlu dipatuhi kedua belah pihak. Sumber pendapatan yang dimiliki adalah dari hasil pekerjaan ahli yang meletakkan iklan di dalam blog dan web mereka. Timbul persoalan siapa penjual. Siapa pembeli? Jawapannya ialah penjual ialah syarikat yang menyediakan perkhidmatan iklan perklik dan pembelinya ialah pemblog yang meyertainya untuk memiliki iklan perklik, bukan pengunjung sebagai pembeli, kerana pemblog yang melakukan permohonan dan menandatangani perjanjian dengan syarikat pengeluar.

Bagaimana pula syarikat yang mempunyai iklan yang diharamkan oleh Islam? Jawapannya semasa pemohon mengisi boring jenis iklan yang diingini oleh pemohon, jika pemohon menerima iklan-iklan yang diharamkan oleh Islam, maka duit yang dihasilkan menjadi haram dengan sebab pemohon redho (bersetuju) dengan iklan yang diharamkan Islam. Tetapi pemohon memilih iklan yang dihalalkan oleh Islam, maka duit yang dihasilkan adalah halal dan boleh digunakan untuk keperluan hariannya. Contoh iklan yang diharamkan Islam ialah arak, judi, porno dan seumpamanya. Manakala contoh iklan yang dihalalkan oleh Islam ialah iklan makanan, kesihatan, ubat-ubatan, barang-barang keperluan dan seumpamanya.

Bagaimana jika pihak syarikat membayar ahli dengan duit yang dicampur-campur dengan duit dari sumber yang haram? Jawapannya, Perlu kita fahami bahawa wang atau ‘fiat money' atau duit kertas itu tidak menjadi haram kerana sifat fizikalnya. Ia bukannya seperti najis yang boleh merebak ke bahagian lain apabila bercampur. Menjadi haram cara kita memperolehi duit tersebut bukan duit yang menjadi haram. Contohnya, seseorang itu meletakkan iklan arak atau judi di dalam blog atau webnya, maka inilah yang dinamakan haram kerana cara perolehannya tidak betul. Duit itu tidak menjadi masalah dan boleh digunakan kerana yang bertanggungjawab adalah pihak syarikat dan bukan kehendak pemohon.

Ingatan saya kepada semua, berhati-hatilah dalam bisnes ini kerana ia boleh jadi haram dengan perbuatan pemohon. Menurut pandangan Ustaz Ismail seperti berikut :


“Melalui iklan, blog mampu menjana pendapatan yang lumayan tetapi berhati-hatilah kerana ia mampu mengubah hukum pendapatan itu dari halal yang sepatutnya menjadi syubhah dan mungkin sekali sehingga haram. Pernahkah anda terlihat atau terbaca di mana-mana blog, ayat-ayat yang berbunyi :


" Sila bantu saya menjana wang, sila klik pada iklan "
" Klik pada iklan bagi menjana wang untuk blog ini "
" Bantu saya dengan satu klik pada iklan "

Setiap ayat di atas mengajak kita untuk membantu penulis blog bagi menjana pendapatan untuknya melalui iklan. Tetapi tahukah anda bahawa terdapat perjanjian di antara ejen pengiklan dan penulis blog di mana penulis blog tidak boleh menyuruh, menyebabkan pelawat blog mengklik pada iklan dengan sengaja seperti contoh-contoh di atas. Ia kerana ajakan atau suruhan tersebut menganggu atau lebih spesifik lagi tidak jujur dalam melawat iklan berkenaan. Berbeza dengan naluri atau niat pelawat blog yang tertarik pada iklan tersebut lalu menghadiahkan klik pada iklan dengan tujuan untuk melihat isi iklan berkenaan dan bukan kerana untuk menderma dengan menggunakan duit pengiklan. Justeru itu, ajakan, suruhan yang berbentuk kepada menyebabkan pengunjung mengklik kerana kasihan atau ingin membantu adalah salah sama sekali begitu juga dengan penulis jika mengklik iklan di blog sendiri dengan niat menambah bilangan klik pada iklan tersebut."

Kesimpulan dari perbahasan di atas ini, saya berpendapat bahawa iklan perklik ini diharuskan dengan hujah, bisnes ini memenuhi syarat-syarat muamalah Islam iaitu penjual (pihak syarikat), pembeli (pemohon/pengusaha/pemblog), barang (produk iklan yang dipersetujui) dan akad (akad mafhum/faham-faham). Tetapi perlu diingat jangan sesekali melanggari syarat perjanjian antara pihak syarikat iklan dan pemohon, kerana ia boleh menjadi haram sepertimana telah diperjelaskan di atas.

Artikel ni boleh dibaca juga melalui link kat bawah ni.....
-pergi sini-

Wednesday, February 2, 2011

Hari-hari terakhir di Sg Petani......

Hari ini akan bergerak ke Sg Petani, rumah adik. Mak nak datang dari kampung. Ahh lama dah tak jumpa mak. Hari ini merupakan hari terakhir keluarga adikku akan berada di Sg Petani. Hari ini mereka akan berpindah ke Johor mengikut suami yg terpaksa berpindah tempat bertugas ke negeri sebelah selatan pula.

Jadi emak datang dari kampung semata-mata untuk menemankan adikku dan keluarganya untuk ke Johor. Kemungkinan jam 5 petang nanti mereka akan bertolak ke Johor meninggalkan bumi Kedah. Entah bila pulak akan sampai ke sini lagi.

Jadi sementara emak sampai dapatlah berjumpa dengan mak barang sejam dua sebelum mereka terus bergerak ke Johor. Semoga perjalanan mereka ini dalam keadaaan selamat sejahtera. Semoga juga kehidupan baru adikku dan keluarganya di Johor ini beroleh kejayaan hendakNya. Aminnnn.

Harga Minyak naik lagi........

Harga Ron97 naik lagi. Kali ini naik lagi 10 sen menjadikan harganya sekarang ini RM 2.50 seliter. Ini adalah merupakan kenaikan yang keempat berturut-turut.

Harga Ron95 nasib baik tidak mengalami kenaikan yang sama dan kekal pada RM 1.90 seliter.

Walaupun alasan kenaikan minyak ini disebabkan kenaikan harga minyak dunia namun sedikit sebanyak kenaikan ini membebankan rakyat juga.

Nasib baiklah aku guna minyak Diesel, tu pun murah sikit jer naik Ron95 iaitu RM 1.80 seliter. Harap-haraplah kenaikan harga minyak ini tidak berterusan dan pada sedikit masa nanti akan mengalami penurunan pula. Asyik-asyik dok naik jer kan....sesekali nak jugaklah dengar turun pulak....dakkkk gitu bang....

Tuesday, February 1, 2011

Harapan buat Kerajaan Malaysia

Melihatkan akan kegusaran dan kegelisahan kebanyakan ibu bapa dan waris yang mempunyai anak-anak dan keluarga di bumi Arab Mesir membuatkan aku terpanggil untuk mencoretkan sedidit entry tentang bumi Islam Arab yang sedang di landa musibah sekarang ini.

Bumi Arab yang dahulunya aman kini berada dalam keadaan darurat dan kacau bilau. Semuanya adalah disebabkan desakan dan permintaan rakyatnya yang mahukan Perdan Menteri sekarang iaitu Hosni Mubarak supaya berundur diri ataupun dengan kata lain meletakkan jawatang yang telah dipegangnya hampir 30 tahun.

Mungkin rakyat Mesir mahukan perubahan dan mereka merasakan telah terlalu lama berada di bawah pemerintahan Hosni Mubarak. Akibat dari tunjuk perasaan yang dilakukan oleh penduduk dan rakyat Mesir itu menyebabkan beberapa nyawa rakyatnya telah menjadi korban. Kita tidak mahu lebih ramai lagi rakyat Mesir menjadi korban ekoran kedegilan pemimpin mereka ini untuk berundur diri.

Kacau bilau berlaku di sekitar Kaherah dan merebak ke beberapa bandar berdekatan. Yang turut menerima akibat dan kesannya ialah lebih 10 ribu orang rakyat Malaysia yang berada di sana. Rata-ratanya terdiri daripada para pelajar malaysia yang sedang belajar di sana. Yang menyedihkan lagi sekarang ini kekurangan bekalan makanan dan minuman disebabkan kesusahan untuk mendapatkan bekalan.

Ibu bapa pelajar dan waris di Malaysia begitu gusar dan risau dan akibatnya ibu pejabat berita menjadi sasaran kegusaran dan kemarahan mereka yang meminta kerajaan Malaysia segera bertindak untuk membawa segera pelajar-pelajar Malaysia ini keluar dari bumi Mesir. Langkah awal kedutaan Malaysia di Mesir untuk mengumpulkan pelajar Malaysia ditempat-tempat tertentu adalah di puji dan sedikit sebanyak dapat meredakan kegusaran ibu bapa ini.

Namun dari sehari ke sehari keadaan di bumi Mesir semakin meruncing. Kacau bilau berlaku di mana-mana. Kesusahan untuk mendapatkan bekalan makanan menjadi masalah utama. Banduan ramai yang sudah terlepas dari penjara. Jadi rasanya sudah sampai masanya kerajaan Malaysia bertindak segera membawa keluar atau lebih baik lagi membawa pulang rakyat Malaysia ke bumi Malaysia.

Semoga harapan ini dan harapan seluruh rakyat Malaysia dan sudah tentunya harapan seluruh ibu bapa yang anaknya ada di bumi Mesir supaya kerajaan Malaysia segera bertindak bijak membawa pulang rakyat Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails