Sunday, August 21, 2011

Ekspedisi solo jelajah Antartika

Dipetik dari utusan Online 20/8/2011....
ANTARA pencapaian Muhamad Nur Azrul adalah menakluk Gunung Kalapathar pada Mei 2010.

--------------------------------------------------------------------------------

SELEPAS berjaya mengibarkan 10,000 Jalur Gemilang di lereng Gunung Kalapathar, Banjaran Himalaya, Nepal pada Mei 2010, anak muda yang gigih ini bakal menakluk benua tersejuk di dunia, Antartika pada Disember 2012.
.
Percubaan itu akan dilakukan menerusi projek Ekspedisi Solo Malaysia – Antartika 2012 (ESMA 2012) pada 12 hingga 27 Disember 2012 di South Shetland Islands, Antartika.
.
Harapan rakyat Malaysia untuk menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di benua itu terletak sepenuhnya di bahu Muhamad Nur Azrul Che Zabani, 32, seorang Pegawai Tadbir yang kini bertugas di Majlis Sukan Negara.
.
Menurutnya, tujuan utama ekspedisi itu adalah untuk mengutip derma bagi pesakit jantung terutamanya kanak-kanak.
.
“Hasil sumbangan tajaan sempena projek ini nanti akan diserahkan kepada Institut Jantung Negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada S3.
.
Beliau bersungguh-sungguh ingin menjayakan ekspedisi ini kerana simpati melihat kanak-kanak kecil yang mengalami kompilasi jantung.
.
“Nak menderma pakai duit poket sendiri tak mampu. Dengan menggunakan pengalaman yang luas dalam bidang rekreasi dan dunia pendakian, saya mendapat idea untuk melaksanakan Ekspedisi Solo Malaysia – Antartika 2012 ini.
.
“Hasil daripada tajaan dan sumbangan itu nanti, sebahagiannya saya akan salurkan untuk mereka. Sekurang-kurangnya saya dapat melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk mereka,” tambahnya
.
Dalam ekspedisi Antartika itu, beliau akan membawa dan mengibarkan 5,000 Jalur Gemilang di benua paling selatan itu.
.
Biarpun misi ini dianggap mustahil, namun mesej dan amanah penting yang dibawanya itu diharap dapat membuatkan sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan.
.
“Untuk berada di benua Antartika, ia menuntut saya melakukan persiapan yang rapi dari segi fizikal dan mental, terutamanya apabila ‘bermain’ dengan suhu yang boleh mencecah -40 darjah celsius pada waktu malam dan -10 darjah celsius pada sebelah siang.
.
“Sudah tentu suhu yang ekstrem itu bakal menguji kekuatan mental dan fizikal saya,” ujarnya.
.
Bagi menggalas misi nasional ini beliau akan memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menaungi program tersebut.
.
“Saya akan menggunakan pengalaman sebanyak enam kali menakluk Banjaran Himalaya dan Everest Base Camp sebagai bekalan di Antartika kelak,” katanya.
.
Selain itu, Muhamad Nur Azrul juga akan melakukan kajian ilmiah dan mengumpul data-data saintifik berhubung kesan psikologi, emosi dan ketahanan mental dan fizikal manusia apabila melakukan sesuatu kerja dan aktiviti di dalam suhu ekstrem secara bersendirian dengan menjadikan dirinya sebagai subjek kajian.
.
“Saya akan berada di South Shetland Islands di benua Antartika bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
.
Menurutnya, dia juga telah mendapat kelulusan bertulis daripada Agensi yang akan menguruskan beliau di Antartika kelak.
.
Pada perkembangan yang sama, Muhamad Nur Azrul berkata, projek ESMA 2012 ini memerlukan bantuan kewangan sejumlah RM395,000 daripada pihak korporat, swasta mahupun individu.
.
“Saya memohon kepada semua warga korporat dan swasta untuk bersama-sama saya menderma kepada mereka yang memerlukan di IJN,” katanya mengharap.
.
Untuk pertanyaan, bolehlah hubungi beliau di talian 019-3784644.
.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails